My Add

Friday 17 February 2012

Perkukuh operasi PCG

SIPITANG, KHAMIS 16 Februari, 2012: Projek Ammonia Urea Sabah (Samur) Petronas di Kampung Banting dekat sini bakal menggandakan kapasiti industri hiliran negara dalam bidang pengeluaran baja urea.

Projek Samur yang dimiliki oleh Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) akan melonjakkan kedudukan syarikat itu sebagai pengeluar baja kedua terbesar di Asia Tenggara.

Naib Presiden Eksekutif Urusniaga Hiliran Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, projek itu akan turut menyumbang ke arah usaha PCG mengukuhkan kekuatan operasi dan logistik pasaran sebagai pengeluar utama dan membekalkan baja di rantau Asia Pasifik.

Beliau yang juga Pengerusi PCG berkata, Projek Samur melibatkan pelaburan sebanyak RM4.6 bilion dijangka siap pada 2015.

Katanya, projek tersebut membabitkan tiga loji pengeluaran utama iaitu ammonia, urea dan pembutiran dalam satu kompleks menggunakan teknologi dari Denmark, Itali dan Jerman.

Selain itu katanya, ia juga akan dilengkapkan dengan unit utiliti bersepadu, jeti dan lain-lain kemudahan sokongan.

“Projek Samur merupakan salah satu inisiatif hiliran utama Petronas untuk menambah nilai sumber hidrokarbon dan medan-medan gas asli yang baru ditemui di luar pesisir Sabah hasil kegiatan huluan yang dijalankan bersama-sama rakan kongsi pengeluaran,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek itu di sini hari ini.

Menurutnya, penemuan- penemuan itu membolehkan Petronas merancang dan melaksanakan beberapa projek hiliran lain di Sabah dan kesemua kegiatan huluan serta hiliran tersebut melibatkan pelaburan bernilai lebih RM45 bilion.

Katanya, kesemua kegiatan itu terutama projek-projek hiliran yang sedang dan akan dilaksanakan akan memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan industri minyak dan gas di Sabah.

Wan Zulkiflee berkata, Petronas sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti syarikat-syarikat di Sabah yang berkelayakan untuk turut serta dalam pembangunan projek Petronas. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment