My Add

Friday 17 February 2012

Projek Jiwa Murni ATM hebat

AHMAD Zahid Hamidi bersama Zulkifli Zainal Abidin (kanan) mendengar taklimat daripada kontraktor yang terbabit memindahkan gudang di Kem Ordnans 71 Batalion Kor Diraja di Kuching, semalam.

Oleh SOPI SAMAILE

KUCHING, KHAMIS, 16 Februari, 2012:  Feb. - Pelaksanaan Projek Jiwa Murni oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja dapat mengurangkan kos pembinaan ke tahap minimum bahkan tempoh penyiapan projek turut dapat disingkatkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini terdapat 10 projek pembangunan membabitkan pembinaan jalan pengangkutan, jambatan serta rumah panjang yang dilaksanakan oleh ATM di bawah Projek Jiwa Murni di Sarawak dengan lima daripadanya telah disiapkan pada tahun lalu.

Menurutnya, kesemua projek tersebut bernilai RM700 juta mengikut anggaran yang dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi menerusi pelaksanaan Projek Jiwa Murni, pasukan ATM hanya membelanjakan RM200 juta malah dapat memendekkan tempoh pembinaan daripada lima tahun kepada dua tahun.

''Ini bermakna pasukan ATM dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dapat menjimatkan perbelanjaan RM500 juta dan projek-projek itu sudah tentu memberi banyak faedah kepada rakyat.

''Ini kerana tinjauan indeks harga selepas projek itu berjaya disiapkan mendapati harga makanan dan pengangkutan berjaya diturunkan sekurang-kurangnya 50 peratus," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Kem Ordnans 71 Batalion Kor Diraja di Kem Pending di sini hari ini.

Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, Projek Jiwa Murni itu telah membuktikan bahawa dalam keadaan aman ini, peranan pasukan ATM adalah untuk memasyarakatkan tugas bagi membantu rakyat.

Bagaimanapun katanya, pihak kontraktor tidak perlu beranggapan negatif kerana Projek Jiwa Murni itu tidak mengugat kedudukan mereka memandangkan pasukan ATM masih mengambil bekalan bahan-bahan tempatan selain turut melantik sub-kontraktor tempatan dalam projek yang dilaksanakan.

''Perkara seumpama ini tidak berlaku di mana-mana tempat lain di dunia ini bahkan semua projek yang dilaksanakan itu pula dijangka memberi kesan sosio ekonomi yang begitu ketara kepada rakyat," ujarnya.

Sementara itu, lima projek yang telah disiapkan di bawah Projek Jiwa Murni ialah Jalan Long Lopeng ke Ba'kelalan dan sembilan jambatan; Jalan Mendamit ke Kuala Mendalam di Limbang; Jalan kampung Saeh di Bekenu, Miri; dua jambatan di Bekenu serta satu jambatan di Lusong Laku, Miri.

Projek dalam pelaksanaan pada tahun ini pula ialah Simpang Teniku Miri ke Pekan Marudi; Jalan Belaga ke Menjawah berhampiran penempatan masyarakat Penan di Bakun dan pembinaan rumah panjang 39 pintu di Tatau.

Sebuah lagi projek jalan pengangkutan yang sedang dirancang ialah jalan sepanjang 50 kilometer dari Bario ke Ba'kelalan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment