My Add

Saturday 25 February 2012

Perlu perubahan dapatkan sokongan masyarakat Cina

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Kecenderungan masyarakat Cina di negara ini untuk menyokong parti pembangkang bukan disebabkan pakatan tersebut hebat mahupun berjaya menunaikan janji-janji yang dilontarkan, kata Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Seri M. Kayveas.

Sebaliknya, beliau berkata, masyarakat Cina menyokong pembangkang kerana mereka dilihat berupaya dan berani untuk menyuarakan sesuatu isi hati masyarakat itu dengan berkesan.

Kecenderungan masyarakat Cina untuk terus menyokong pembangkang cukup terserlah sekalipun isu-isu yang ditimbulkan pembangkang ada ketikanya tidak berasas, katanya ketika ditemuramah dalam program 'Dalam Radar' terbitan Bernama Radio24, semalam.

Kayveas berkata, keterikatan pendekatan parti politik seperti MCA dan Gerakan yang mempraktikkan strategi rundingan berbanding pembangkang yang lebih cenderung kepada pendekatan konfrontasi, membataskan pergerakan mereka untuk memperjuangkan hak masyarakat Cina secara efektif.

"Oleh yang demikian, adalah mustahak untuk kita mengubah suai pendekatan dalam menangani sesuatu isu. Landskap politik semasa negara yang berubah menuntut satu pendekatan baharu dalam menangani isu berbangkit.

"Kita masih mempunyai masa untuk melakukan perubahan dalam konteks ini dan sekiranya segala isu yang dibangkitkan oleh masyarakat Cina dapat ditangani dengan bijak, tidak mustahil untuk BN memenangi kembali undi daripada masyarakat Cina," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment