My Add

Tuesday 21 February 2012

Pindaan Akta Pemajuan Perumahan dikuat kuasa September

JOHOR BAHRU, ISNIN, 20 Februari, 2012: Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Pindaan 2011) yang diluluskan Disember tahun lalu akan mula dikuatkuasakan pada September ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Beliau berharap pelaksanaannya, yang memperuntukkan penalti lebih berat kepada pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan, mampu mengurangkan masalah projek perumahan terbengkalai.

Katanya, pindaan akta berkenaan, yang bertujuan melindungi kepentingan pembeli, diharap memberi kesedaran kepada pemaju supaya mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Sejak dulu kita sudah ambil tindakan ke atas pemaju yang tidak bertanggungjawab seperti menyenaraihitamkan syarikat mereka. Namun, saya percaya cara itu sudah tidak berkesan lagi dan sebab itu kita pinda akta tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan replika kunci kepada pembeli projek perumahan Taman Cahaya Kota Puteri, di sini hari ini.

Chee Heung berkata, sehingga kini, 167 projek perumahan melibatkan 53,238 unit rumah terbengkalai direkodkan dan daripada jumlah itu, 90 projek melibatkan 16,324 unit rumah berjaya disiapkan.

Selain itu, sebanyak 61 projek melibatkan 27,946 unit rumah sedang dalam pelbagai peringkat pemulihan dan dijangka siap menjelang tahun depan manakala baki 16 projek lagi masih dalam peringkat awal perancangan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment