My Add

Monday 13 February 2012

Program keagamaan hakis aktiviti khurafat


KHALIL Yaakob bersama Mohd. Ali Rustam bersalaman dengan sebahagian yang hadir pada Majlis Hafla Maulud Ad-Dibai di Pulau Besar, Melaka, semalam. - UTUSAN/AZLI AHAD

MELAKA, AHAD, 12 Februari, 2012:  Sambutan Maulidur Rasul di Pulau Besar yang disertai oleh hampir 1,000 pengunjung hari ini secara tidak langsung menghakis sisi negatif kepercayaan khurafat yang mengaitkan nama pulau itu suatu ketika dahulu.

Walaupun pulau tersebut sudah kian pulih dan membangun, usaha menghakis kepercayaan negatif sesetengah pihak terus dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi membendung aktiviti yang tidak bermoral yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sambutan Maulidur Rasul bukanlah sesuatu yang di luar kebiasaan memandangkan ia merupakan sambutan kali kedua diadakan di pulau itu.

"Dengan adanya program sebegini, kefahaman orang ramai makin baik dan saya percaya Pulau Besar boleh menjadi pusat pelancongan kepada mereka yang ingin melihat sejarah orang-orang Islam di zaman kerajaan Melayu Melaka dahulu.

"Ada juga yang datang ke sini untuk tujuan-tujuan tertentu tetapi ini tidak berapa sihat dari kacamata agama kita. Oleh itu, kita telah berusaha mengadakan pelbagai program dan waktu beginilah orang ramai datang dan kita ada bersama sambil boleh memberi pandangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Hafla Maulud Ad-Dibai peringkat negeri yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Abdul Ghaafar Atan dan Pengarah Jabatan Agama Islam negeri, Datuk Mohd. Zin Mansor.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah selawat ke atas junjungan, Rasulullah dan marhaban.

Mohd. Ali berkata, Pulau Besar merupakan pulau legenda di mana suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat penyebaran agama Islam di zaman pemerintahan kerajaan Melayu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment