JAMIL Khir Baharom pada sidang media selepas pelancaran Skuad Jejak Asnaf Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN
KUALA LUMPUR, KHAMIS 16 Februari, 2012: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini melancarkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP dalam usaha mengenal pasti asnaf yang layak dan masih belum menerima bantuan zakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebagai permulaan, skuad itu akan pergi ke seluruh Wilayah Persekutuan khasnya kawasan setinggan bagi mengesan penerima bantuan zakat berdasarkan maklumat orang ramai, media dan jadual rutin turun padang.
Katanya, skuad itu dianggotai oleh 32 pegawai MAIWP dan dibantu oleh 60 ketua amil dan 700 amil di seluruh Wilayah Persekutuan.
"Penubuhan skuad ini tepat pada waktunya sebagai usaha proaktif Baitulmal MAIWP meningkatkan agihan zakat selari dengan peningkatan kutipan zakat setiap tahun," katanya pada sidang akhbar pelancaran skuad itu di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr. Muhammad Yamin Ismail.
Jamil Khir berkata, skuad itu telah mula digerakkan dan ia memilih Kampung Semerah Padi di Cheras dalam mencari penerima bantuan zakat yang akan turut dibantu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
"Antara kriteria asnaf adalah berdasarkan pendapatan bulanan, tempat tinggal dan beban tanggungan pemohon. Pada masa ini, kita beri bulanan kepada 14,000 penerima zakat di seluruh Wilayah Persekutuan dan pembayaran itu dibuat secara deposit bank," kata beliau.
Menurutnya, bahagian pungutan zakat berjaya meningkatkan kutipan bagi tempoh 2010 dan 2011 kepada 14 peratus iaitu dari RM275 juta (2010) kepada RM341 juta tahun lalu. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment