My Add

Friday 17 February 2012

Rebat NGO: MCA kemukakan bukti

CHONG Itt Chew menunjukan salinan jumlah peruntukan yang diterima oleh lapan NGO dalam bentuk cek dan wang tunai pada sidang akhbar di Alor setar, semalam.

ALOR SETAR. KHAMIS, 16 Februari, 2012: MCA Kedah hari ini mengemukakan senarai lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwanya terlibat memulangkan semula antara 25 hingga 30 peratus daripada jumlah bantuan yang diterima daripada kerajaan negeri.

Pengerusinya, Datuk Chong Itt Chew turut mengemukakan bukti salinan jumlah peruntukan yang diterima oleh pihak tersebut dalam bentuk cek dan wang tunai.

Katanya, bukti tersebut diperoleh daripada wakil NGO-NGO terbabit dan ia pertama kali didedahkan ekoran penafian pihak kerajaan negeri berhubung isu tersebut.

“MCA Kedah mengemukakan isu rebat ini atas aduan wakil NGO-NGO tersebut yang keliru dengan perkara ini. Misalnya ketika wakil rakyat atau Exco terbabit, Tan Chow Kang dalam satu majlis tahun lepas mengumumkan peruntukan tersebut, jumlahnya demikian, tetapi bila terima wang itu jumlahnya kurang 30 peratus.

“NGO terbabit dikatakan perlu bersetuju dengan rebat tersebut atau mereka tidak akan memperoleh bantuan yang dijanjikan wakil rakyat terbabit seperti yang berlaku kepada dua daripada lapan NGO itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang menafikan pihaknya mengenakan rebat atau pemulangan semula wang peruntukan bantuan tersebut terhadap NGO.

Azizan turut menuntut agar MCA Kedah mengemukakan bukti berhubung dakwaan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment