My Add

Tuesday 21 February 2012

Semua industri guna biodiesel menjelang 2014

TANJONG KARANG, ISNIN, 20 Februari, 2012: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan meningkatkan kandungan bahan berasaskan sawit dalam minyak biodiesel B5 daripada lima peratus kepada 10 peratus untuk kegunaan sektor pengangkutan di negara ini pada masa depan.

Menterinya, Tan Sri Bernard Dompok berkata, rancangan tersebut merupakan antara usaha kerajaan untuk memaksimumkan penggunaan bahan berasaskan sawit sebagai bahan bakar alternatif bagi mengurang dan menggantikan bahan api berasaskan petroleum.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan matlamat kementerian dalam meningkatkan industri sawit menerusi pengukuhan harga minyak berasaskan sumber itu termasuk mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau demi menjamin persekitaran mesra alam.

"Pada masa ini, kandungan biodiesel B5 sebanyak lima peratus terdiri daripada diesel berasaskan sawit dan 95 peratus lagi adalah diesel petroleum. Kita (kerajaan) boleh tingkatkan kandungannya daripada lima peratus, tujuh peratus dan 10 peratus dari semasa ke semasa.

"Negara lain turut melakukan perkara sama termasuk negara jiran (Thailand dan Indonesia). Negara ini merupakan pengeluar minyak sawit, maka kita boleh bangunkan sumber biodiesel berasaskan sawit," katanya selepas merasmikan Program B5 Sektor Perikanan Peringkat Wilayah Tengah di Jeti Bagan Pasir di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Choo Yuen May.

Dompok berkata, kementerian juga menyasarkan pengeluaran biodiesel B5 sebanyak 500,000 tan sebulan bagi membolehkan bahan api itu menampung permintaan pasaran di negara ini.

Katanya, pertambahan pengeluaran itu selaras dengan hasrat kementerian untuk memperluaskan penggunaan biodiesel B5 dalam semua industri di negara ini termasuk sektor pertanian dan perikanan selewat-lewatnya pada 2014.

Malah, kata beliau, harga pasaran bagi bahan api itu juga adalah sama dengan harga pasaran semasa diesel yang disubsidi oleh kerajaan iaitu RM1.80 sen seliter meskipun kos pengeluaran biodiesel B5 adalah lebih tinggi.

"Sekarang syarikat minyak yang terlibat dalam pengeluaran biodiesel B5 masih mengambil masa untuk membangunkan sistem pengadunan bahan api itu.

"Bagaimanapun, harga jualan adalah sama sahaja. Walaupun kos pengeluarannya lebih sedikit iaitu kira-kira dua sen hingga tiga sen seliter, ia ditanggung oleh kerajaan," katanya sambil menyatakan bahan api itu turut memberi manfaat kepada prestasi enjin kenderaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment