My Add

Tuesday 21 February 2012

Sultan Selangor terima anugerah tertinggi kerajaan Perancis

SULTAN Sharafuddin Idris Shah bersama Edouard Guillaud (empat dari kiri) dan Martine Dorance (tiga dari kanan) pada majlis penganugerahan Commandeur in the Legion of Honour di Kedutaan Perancis, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, ISNIN, 20 Februari, 2012: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima penganugerahan pangkat tertinggi daripada kerajaan Perancis iaitu Commandeur in the Legion of Honour.

Majlis penganugerahan pangkat daripada Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy itu disempurnakan oleh Ketua Angkatan Pertahanan Perancis, Laksamana Edouard Guillaud di Kedutaan Perancis di sini hari ini.

Turut hadir Duta Perancis ke Malaysia, Martine Dorance dan pegawai-pegawai tertinggi daripada angkatan tentera kedua-dua negara.

Anugerah yang dicipta Napolean Bonaparte pada 1802 itu merupakan penghargaan tertinggi kepada tentera dan rakyat yang berjuang untuk pembebasan Perancis.

Pada masa kini, anugerah diberikan kepada pemimpin terunggul dan rakyat dari mana-mana negara yang mempunyai hubungan baik dengan Perancis.

Bertitah pada majlis itu, baginda berbesar hati dengan penganugerahan pangkat berprestij itu dan berharap pengiktirafan kerajaan Perancis itu mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

"Sebagai Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), beta berasa bangga dengan hubungan dan kerjasama baik antara tentera laut Malaysia dan Perancis.

"Kapal selam Scorpene kita cukup dikagumi oleh negara-negara di rantau ini, begitu juga dengan latihan kelasi kita di Brest, Perancis.

"Beta juga berharap kunjungan Laksamana Guillaud akan mengukuhkan hubungan antara tentera laut Malaysia-Perancis. Sesungguhnya tentera laut merupakan kunci pertahanan antara kedua-dua negara,'' titahnya.

Sementara itu, Guillaud berkata, penganugerahan pangkat itu adalah pengiktirafan dan penghormatan kepada jasa baginda mentadbir TLDM dan rakyat Selangor. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment