My Add

Tuesday 21 February 2012

Penalti lebih berat menanti pemaju

Oleh NURUL HUDA HASSAN

JOHOR BAHRU, ISNN, 20 Februari, 2012: Masalah pembinaan rumah terbengkalai dijangka dapat dikurangkan mulai September ini apabila Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) Akta 118 (pindaan 2011) akan mula dikuat kuasa September tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung (gambar) berharap pelaksanaannya yang memperuntukkan penalti lebih berat kepada pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan diyakini mampu mengurangkan masalah itu.

Menurutnya, pindaan akta berkenaan yang dibuat untuk melindungi kepentingan pembeli diharap memberi kesedaran kepada pemaju supaya mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

"Sejak dahulu kita sudah ambil tindakan ke atas pemaju tidak bertanggungjawab seperti menyenaraihitamkan syarikat mereka, namun saya percaya cara itu sudah tidak berkesan lagi dan sebab itu kita pinda akta tersebut.

"Matlamatnya untuk melahirkan lebih banyak pemaju yang berhemah dan boleh menyiapkan projek perumahan yang diberi," katanya selepas menyampaikan replika kunci kepada pembeli projek perumahan Taman Cahaya Kota Puteri, di sini hari ini.

Projek perumahan itu terbengkalai lebih 10 tahun melibatkan 334 unit rumah dengan 281 pembeli dan boleh diduduki tidak lama lagi.

Terdahulu pada majlis berasingan, Chee Heung turut menyampaikan replika kunci kepada pembeli projek perumahan Taman Mawar di Kulaijaya yang terbengkalai dan kini sudah boleh diduduki selepas diselamatkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Chee Heung berkata, hingga kini sebanyak 167 projek perumahan melibatkan 53,238 unit rumah terbengkalai telah direkodkan dan daripada jumlah itu, 90 projek melibatkan 16,324 unit rumah berjaya disiapkan.

"Selain itu, sebanyak 61 projek melibatkan 27,946 unit rumah sedang dalam pelbagai peringkat pemulihan dan dijangka siap pada tahun ini atau tahun depan manakala baki 16 projek lagi masih dalam peringkat awal perancangan," katanya.

Ketika diminta mengulas tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melantik konsultan dari Singapura dalam membantu membangunkan projek perumahan rakyat di Batu Kawan, beliau menyifatkan tindakan itu tidak wajar.

"Saya rasa ia tidak perlu kerana dalam negara kita juga konsultan tempatan berlambak dan banyak yang boleh membantu, malah kosnya pula jauh lebih murah daripada konsultan luar," katanya.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan MCA negeri itu mempersoalkan tindakan Guan Eng melantik syarikat Singapura, Surbana International Consultant untuk membuat pelan dan reka bentuk bagi satu projek di Bandar Cassia di Pulau Pinang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment