My Add

Tuesday 7 February 2012

Sistem diperketat elak langkau giliran haji

KUALA LUMPUR, SELASA, 07 Februari, 2012: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meminta Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan suruhanjaya itu untuk meneliti dan mengetatkan sistem maklumat pengurusan jemaah di Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mengelak berulangnya sindiket melangkau giliran menunaikan haji atau 'haji ekspres'.

Menurut kenyataan bersama SPRM dan TH yang dikeluarkan semalam, kedua-dua pihak juga sedang bekerjasama bagi mengenal pasti individu terlibat dalam sindiket berkenaan dan kini berusaha melengkapkan siasatan secepat mungkin.

"TH telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam usaha mempertingkatkan sistem pengurusan haji dengan melakukan beberapa penambahbaikan.

"Usaha memperketat sistem maklumat pengurusan haji amat penting bagi memastikan pihak TH dapat melumpuhkan kegiatan tersebut selain mengenal pasti individu terlibat," ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, TH turut mengambil langkah proaktif dengan melantik pihak profesional yang berkecuali bagi menyemak dan menambah baik keseluruhan sistem maklumat pengurusan haji. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment