My Add

Tuesday 7 February 2012

Sultan Muhammad V Kelantan ziarah keluarga mangsa lemas

SULTAN Muhammad V melawat ke rumah keluarga mangsa lemas di Kampung Tualang Salak, di Bachok, Kelantan, semalam.
BACHOK, SELASA, 07 Februari, 2012: Keluarga dua beradik mangsa lemas di Kampung Tualang Salak, dekat sini terharu di atas keprihatinan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang sudi mencemar duli menziarahi mereka petang semalam.

Baginda tiba di kediaman nenek mangsa, Saudah Mat Yaakob, 63, di kampung tersebut disambut Ketua Jajahan Bachok, Zulkifli Abdul Rahman; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Husain dan beberapa pegawai kerajaan lain.

Bapa mangsa, Ruslan Ab. Ghani, 46, berkata, dia amat berbesar hati apabila diberitahu baginda Sultan Kelantan akan mencemar duli ke rumahnya itu.

"Saya amat terkejut dan tidak menduga baginda sudi mencemar duli ke rumah kami yang serba kekurangan ini.

"Kami menjunjung kasih di atas kunjungan baginda serta menghulurkan sumbangan untuk keluarga kami. Baginda sememangnya raja berjiwa rakyat yang prihatin terhadap tragedi dalam jajahan takluk baginda," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sultan Muhammad meluangkan masa kira- kira 40 minit bertanya khabar mengenai keluarga tersebut sebelum berangkat ke Masjid Naim, Jelawat untuk menunaikan solat Maghrib bersama penduduk di situ.

Dalam kejadian pada 23 November lalu, mangsa, Mohd. Fathi Asyraf Ruslan, 14, dan adiknya, Mohd. Arif Hukmi, 10, mati lemas selepas terjatuh ke dalam parit di kampung tersebut.

Mohd. Fathi Asyraf dan Mohd. Arif adalah anak sulung dan anak ketiga kepada pasangan Ruslan dan Suriani Dollah, 37.

Tiga lagi anak mereka, Syifaa Hanini, 11, Muhammad Hadziq Danial, 6, dan Nurkhairunisa, 3, berada di rumah nenek mereka ketika kejadian berlaku.

Selain itu, baginda turut menziarahi keluarga Abdul Rahim Mahmud, 38, di Taman Perumahan Kobena yang kehilangan dua anak iaitu Mohd. Afiq Zulfikri, 12, dan Mohd. Amirul Zulhaika yang disahkan mati lemas di Sungai Alor Pasir di Pasir Puteh pada 1 Februa

Sultan melawat mangsa tembak

Sementara itu seorang suri rumah yang menjadi mangsa tembakan oleh perompak di Kampung Slow Machang, Pasir Mas, minggu lepas, melahirkan rasa teruja kerana nasib malang yang menimpanya mendapat perhatian Sultan Kelantan Sultan Mohammad V, yang melawatnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di Kota Bharu,semalam.

Che Hasmah Awang, 50, menganggapkan keberangkatan Sultan Kelantan itu menyuntik semangatnya untuk pulih daripada dihantui trauma ekoran kejadian rompakan di rumahnya pada pukul 5 pagi, 30 Januari lepas.

"Saya amat bersyukur kerana selain menerima sumbangan, saya juga dapat bertemu dan bercakap secara dekat dengan baginda Sultan Kelantan yang tidak pernah saya impikan sebelum ini.

"Inilah apa yang dikatakan orang, Sultan Kelantan berjiwa rakyat," katanya sambil menyifatkan berpuas hati kerana dapat berbual mesra dengan baginda Sultan Kelantan walaupun sekejap.

Sultan Kelantan singgah di hospital itu semalam ketika dalam perjalanan ke Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh untuk menziarah keluarga dua kanak-kanak adik beradik yang mati lemas dua hari lepas.

Turut mengiringi baginda ke hospital itu ialah Pengarah HRPZII, Datuk Dr. Ghazali Hasni Mat Hassan dan Ketua Jabatan Bedah hospital berkenaan, Dr. Nik Mohamad Shukri Nik Yahya.

Che Hasmah cedera parah selepas terkena tembakan di perut kanan dalam kejadian rompakan di rumahnya di mana perompak melarikan sebuah kereta Honda Jazz, barang kemas serta wang tunai RM5,000.

Sementara itu, Dr Ghazali Hasni berkata, Che Hasmah telah dibenarkan keluar dari hospital selepas tiga hari menerima rawatan. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment