My Add

Tuesday 21 February 2012

Syarat lesen radio tahun depan

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY

JOHOR BAHRU, ISNIN, 20 Februari, 2012:  Kesemua 56 stesen radio termasuk swasta dikehendaki menggunakan bahasa Melayu dengan tepat selain berperanan membudayakan amalan nilai murni sebagai syarat lesen mulai tahun depan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, langkah itu penting kerana pada masa ini banyak stesen radio tidak mengendahkan penggunaan bahasa kebangsaan sedangkan peranan mempromosi penggunaannya dengan betul perlu dimainkan oleh mereka.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau pelaksanaan syarat tersebut dan mengambil tindakan terhadap stesen yang gagal berbuat demikian. Ada yang sudah dikenakan tindakan tetapi tidak dihebohkan. 

"Saya lebih cenderung kepada pendekatan bahawa stesen itu menerima teguran dan membaikinya," katanya selepas melancarkan perluasan siaranBernama Radio 24 ke Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Rotiah Omar dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhayati Ismai.

Rais turut diwawancara dalam segmen Bual Bicara Khas-Program Kerusi Panas mengenai kuasa ketiga dalam arena politik negara sebelum menyempurnakan Majlis Penghayatan 1Malaysia Pemandu Teksi Zon Selatan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, penggunaan bahasa kebangsaan oleh stesen radio tempatan tidak mencapai tahap yang memuaskan, malah dipertikaikan orang ramai ekoran penggunaan yang tidak tepat.

"Adakah kita serah perkara ini kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sahaja atau kita ambil tindakan sendiri? Mengapa kita menggunakan bahasa meracuni bahasa kita sendiri. Jadi, bantu negara dan bangsa kita dengan berucap dalam bahasa Melayu dengan betul," katanya.

Mengenai perdebatan antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kelmarin, Rais mencadangkan supaya sebarang bentuk debat harus menggunakan bahasa kebangsaan walaupun sedikit agar semua lapisan masyarakat dapat memahami hujah yang dibentangkan.

Menurutnya, debat sejam itu menunjukkan trend demokrasi yang lebih aktif dan interaktif, tetapi bahasa kebangsaan tidak harus diketepikan walaupun bahasa ibunda digunakan.

Sementara itu, kata beliau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disaran mendaftar sebagai parti politik sekiranya perjuangan mereka cenderung ke arah itu kerana ungkapan kuasa ketiga yang digunakan tidak tepat.

Rais berkata, peranan NGO terbabit tidak mutlak kerana sebenarnya rakyat adalah pihak berkuasa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment