My Add

Tuesday 21 February 2012

Wasatiyyah kunci kedamaian Selatan Thai

PUTRAJAYA, ISNIN, 20 Februari, 2012: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra percaya konsep wasatiyyah merupakan pendekatan penting untuk memerangi aktiviti pelampau serta menyelesaikan pergolakan yang melanda selatan negara itu.

Beliau berkata, konsep kesederhanaan yang dipelopori Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah kunci kepada kedamaian dan pembangunan di dunia.

''Pendekatan ini telah ditunjukkan melalui rancangan dan usaha kita untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di selatan Thailand.

''Ini juga selari dengan falsafah raja kita (Raja Bhumipol Adulyadej) yang memberi tumpuan kepada ekonomi mampu diri, bertimbang rasa, mendekati (reach out) dan pembangunan," katanya pada sidang akhbar bersama Najib di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Terdahulu kedua-dua pemimpin itu mengadakan mesyuarat dua hala yang membincangkan pelbagai perkara termasuk isu keselamatan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Yingluck yang dalam rangka lawatan sehari ke Malaysia berkata, pelbagai kemudahan termasuk keperluan fizikal perlu dibangunkan untuk mengukuhkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia dan Thailand.

''Keadaan ini bukan sahaja akan membawa kemakmuran kepada kedua-dua, tetapi ia turut meningkatkan rangkaian dan hubungan di peringkat serantau," katanya.

Yingluck berkata, beliau melihat hubungan baik antara Malaysia dengan Thailand sebagai asas penting untuk mewujudkan rantau Asia Tenggara yang membangun, damai dan makmur.

''Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015, Thailand yakin dengan kepimpinan Malaysia dan kita mahu melihat ASEAN terus memandu kemajuan dan kestabilan ekonomi di Asia Pasifik.

''Keadaan ini akan membolehkan kita (dalam ASEAN) menghadapi pelbagai cabaran global termasuk malapetaka alam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment