My Add

Sunday 26 February 2012

Doktor muda tidak berminat berkhidmat di luar bandar

Oleh YULPISMAN ASLI

KOTA BHARU, SABTU, 25 Februari, 2012: Ramai doktor muda di negara ini tidak bersedia untuk berkhidmat di kawasan luar bandar sehingga menyukarkan usaha kerajaan memberi perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kepada rakyat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, mereka sebaliknya lebih berminat berkhidmat di kawasan Lembah Klang atau bandar-bandar besar.

"Para doktor mesti bersedia untuk berkhidmat di kawasan yang mereka lebih diperlukan. Karier dalam bidang perubatan hanya akan terlaksana sekiranya niat kita adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Schomos: Hak dan Tanggungjawab Doktor Kerajaan anjuran bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Kementerian Kesihatan di Kolej Kejururawatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Nordiyanah Hassan. Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr. Che Wil Awang; Pengerusi Schomos MMA, Dr. Rosalind Simon dan Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hasan.

Dr. Hasan berkata, kerajaan telah menyasarkan menjelang tahun 2020, negara mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan nisbah doktor dan penduduk pada kadar 1:400.

Jelasnya, pada 2010, terdapat seramai 32,979 doktor di negara ini dengan nisbah 1:859 berbanding 1:1,490 pada 2000, di mana kira-kira 68 peratus daripada mereka merupakan doktor dalam sektor awam.

"Sesetengah negeri mencapai nisbah lebih baik iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 1:357, Pulau Pinang (1:692), Melaka (1:722) dan Negeri Sembilan (1:727)," katanya.

Bagaimanapun kata Dr. Hasan, meskipun berlaku peningkatan bilangan doktor, masih terdapat pengagihan tidak saksama antara kawasan bandar dan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak.

Beliau memberitahu, ketika ini terdapat 32 sekolah perubatan termasuk 21 kolej perubatan swasta yang menawarkan 366 ijazah kedoktoran yang diiktiraf oleh MMA. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment