My Add

Monday 6 February 2012

Tertekan paip selalu pecah

ZAHARIMAN Abdul Ghani (kiri) dan Zahir Abdullah menunjukkan kawasan hadapan rumah penduduk yang berlumpur disebabkan oleh kerja-kerja membaiki paip bawah tanah berikutan kejadian paip pecah yang kerap berlaku di kawasan perumahan Taman Rawang Jaya.

Oleh Roslah Othman

RAWANG, AHAD, 06 Februari, 2012: Bukan sekali atau dua tetapi sudah lebih lima kali dalam tempoh seminggu kejadian paip pecah berlaku dan menjejaskan kehidupan harian penduduk di Taman Rawang Jaya dan New Green Park di sini.

Walaupun penduduk berpuas hati dengan tindakan pantas Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) setiap kali berlaku kejadian itu tetapi mereka tetap mahukan masalah itu diatasi sepenuhnya.

Kata mereka, Syabas perlu mengambil langkah penyelesaian jangka panjang supaya masalah itu tidak terus menghantui penduduk dan sering membuat mereka merasa tertekan.

Pengerusi Rukun Tetangga Rawang B, Zahir Abdullah, 67, berkata, kejadian paip pecah itu telah berlaku sejak dua tahun lalu tetapi semakin kerap sejak awal tahun ini.

Katanya, sepanjang bulan ini sahaja, tidak kurang daripada lima kejadian paip pecah telah berlaku menyebabkan penduduk terpaksa sentiasa menyimpan bekalan air yang banyak.

"Kami difahamkan paip di kawasan perumahan ini telah lama dan perlu digantikan dengan baru, namun sehingga ke hari ini masih tidak ada tanda-tanda ke arah itu," katanya.

Zahariman Abdul Ghani, 59, pula berkata, kerja-kerja pembaikan yang dijalankan kontraktor yang dilantik oleh Syabas hanya bertahan untuk tempoh sementara sahaja.

Menurutnya, kadangkala selepas paip yang pecah dibaiki, satu lagi kejadian berlaku keesokan harinya sama ada di kawasan yang sama atau hanya beberapa meter sahaja dari tempat yang baru dibaiki.

"Seharusnya pihak Syabas menempatkan pegawainya untuk memantau kualiti kerja pembaikan yang dijalankan oleh kontraktor terlibat supaya ia menepati piawaian," ujarnya.

Seorang penduduk lain, T. Mageswary, 46, berkata, kejadian paip pecah di hadapan rumahnya sudah dua kali pada tahun ini.

Dia yang sudah menetap selama 13 tahun di New Green Park mengakui, ia ibarat mimpi ngeri kerana setiap kali bangun pagi, dia pasti bimbangkan bekalan air terputus.

"Kami tidak dapat menjangkakan bila dan rumah mana yang akan mengalami bekalan air terputus. Apa yang pasti kami perlu sentiasa mengambil langkah menyimpan air," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment