My Add

Saturday 4 February 2012

TLDM lakukan penerbangan ehsan pesakit dari Lumut ke KL

LUMUT, JUMAAT, 03 Februari, 2012: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di sini melakukan penerbangan ehsan dengan membawa seorang pesakit dari Hospital Sri Manjung ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur, hari ini.

K Rajendran, 51, yang putus pergelangan tangan kiri diterbangkan kira-kira 11 pagi dengan sebuah helikopter Fennec.

Pesawat yang dipandu Komander Khalid Md Lepi dan dibantu oleh Leftenan Komander Zunairi Abu Bakar bertolak dari tapak penerbangan TLDM, KD Rajawali dan tiba di PPUM kira-kira jam 11.50 pagi.

"Pusat Operasi Markas Armada TLDM di sini menghantar sebuah pesawat Fennec sebaik saja menerima permohonan daripada Pegawai Perubatan Hospital Seri Manjung, Doktor Hishamuddin Din pada jam 10 pagi.

"Pesakit dilaporkan cedera parah akibat putus pergelangan tangan kiri dan hanya mempunyai masa kira-kira tiga jam untuk memastikan usaha penyambungan semula anggota yang terputus boleh dijalankan," kata Pegawai Perhubungan Awam Markas Armada TLDM, Leftenan Komander Noorlida Rahaman.

Dalam penerbangan itu pesakit turut ditemani seorang Pegawai Perubatan dari Hospital Seri Manjung, Doktor S Basumathy. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment