My Add

Thursday 16 February 2012

Warga emas maut jatuh dari tingkat 14

KUALA LUMPUR, RABU, 15 Februari, 2012: Selepas insiden 13 buah motosikal yang terbakar semalam menggemparkan penduduk, kali ini mereka dikejutkan dengan kejadian seorang lelaki warga emas yang ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat 14 di Perumahan Rakyat Seri Semarak, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pag itu, mangsa Wong Tong Sing, 69, dikatakan terjatuh ketika baring di atas sebuah beranda di Blok B bangunan tersebut.

Menurut seorang saksi yang bekerja sebagai pencuci bangunan di kawasan perumahan itu, R Shanti, 46, sebelum kejadian dia ada melihat mangsa berada di atas beranda itu ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Saya cuba hendak menarik mangsa kerana bimbang dia terjatuh, bagaimanapun saya membatalkan niat itu kerana takut perkara yang tidak diingini berlaku.

"Namun, belum sempat saya memanggil orang ramai untuk menghalangnya dari terus berada di situ, dia telah terjatuh," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, menurut sumber polis, mangsa yang lengkap berpakaian itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Siasatan awal tidak menunjukkan terdapatnya unsur jenayah sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dari bangunan tersebut.

"Berdasarkan maklumat yang diterima mendapati mangsa yang hidup sebatang kara itu berada di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana dipercayai mengalami kemurungan," katanya.

Katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan waris mangsa supaya tampil atau menghubungi balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment