My Add

Tuesday 26 February 2013

Jangan tertipu kali kedua - Zahid Hamidi

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
BAGAN DATOH, SELASA, 26 Februari, 2013: Rakyat negara ini diminta menilai secara jujur manifesto pilihan raya pakatan pembangkang supaya tidak tertipu buat kali kedua setelah pelbagai janji-janji manis mereka pada pilihan raya umum lalu tidak dikotakan sehingga hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat juga perlu menilai hakikat bahawa hanya 15 peratus janji-janji pembangkang yang sudah dikotakan, malah ada pemimpin mereka tergamak secara terbuka menyatakan manifesto bukan satu janji.

Sambil menyifatkan manifesto pembangkang sebagai harapan palsu kepada rakyat, beliau berkata, janji-janji yang diberikan juga tidak berpijak di bumi nyata kerana boleh menghancurkan ekonomi negara seperti yang dialami negara-negara Eropah seperti Greece.

"Dalam manifesto itu, mereka (pembangkang) lupa dua perkara. Pertama, tidak dinyatakan jumlah pendapatan negara yang akan dijana sepanjang lima tahun jika mereka memerintah memandangkan pendapatan negara dijangka berkurangan kerana banyak elemen percukaian dihapuskan.

"Janji-janji itu menampakkan perbelanjaan melebihi pendapatan dan mendorong negara sentiasa mempunyai belanjawan defisit. Jika semuanya dipenuhi, Malaysia boleh menjadi negara bankrap seperti Greece," katanya selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada orang bujang di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, pembangkang juga tidak menyatakan kenapa mereka tidak menunaikan lebih 85 peratus janji-janji dalam manifesto di negeri-negeri yang mereka kuasai.

"Malah, ada pemimpin kerajaan negeri yang mereka kuasai mengatakan bahawa janji manifesto lalu bukan janji yang harus ditunaikan. Oleh itu, janji-janji baharu ini adalah penolakan terhadap janji-janji yang belum pun mereka tunaikan dahulu.

"Janji palsu ini harus ditolak kerana dari segi rekod, mereka tidak dapat memenuhi janji-janji berkenaan sedangkan Barisan Nasional (BN) melaksanakan perkara-perkara yang tidak ada pun dalam manifesto termasuk 230 produk 1Malaysia yang diperkenalkan," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau yakin manifesto BN yang akan dilancarkan kelak akan lebih berpijak di bumi nyata dengan mengambil kira pendapatan negara selain terus menjurus kepada usaha membela kepentingan rakyat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment