My Add

Tuesday, 26 February 2013

Tak sepakat pilih PM bukti kerapuhan pembangkang

KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Feb. - Ketidaksepakatan pakatan pembangkang untuk melantik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) menunjukkan kerapuhan pakatan pembangkang yang umpama 'retak menanti belah'.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim berkata, perkara itu juga membuktikan kalangan parti pembangkang sudah hilang kepercayaan terhadap Anwar yang satu masa dahulu begitu disanjungi.

"Isu nak lantik (siapa jadi) Perdana Menteri pun tidak boleh selesai, macam mana mereka (pembangkang) nak satu padukan rakyat. Luaran sahaja mereka nampak bersatu tetapi sebenarnya berlaku pertembungan pendapat antara mereka di peringkat dalaman.

"Baik kita sokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudah pasti 'track recordnya' daripada kita menyokong seseorang yang belum tentu lagi akan jadi PM," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatan perdana menteri tidak semestinya menjadi milik Anwar, bagaimanapun pada 12 Februari lepas, Pengerusi DAP, Karpal Singh sekali lagi menegaskan Anwar akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang sependapat dengan Ruslan berkata pakatan pembangkang sepatutnya mengumumkan siapa yang bakal menjadi perdana menteri semasa melancarkan manifesto PRU-13 mereka semalam.

Timbalan Menteri Pelajaran dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, manifesto itu juga boleh dianggap sebagai tidak lengkap dan tidak boleh dipercayai kerana tidak memasukkan nama bakal perdana menteri.

"Mereka tidak boleh selesaikan (masalah) perdana menteri ini sebab ada perebutan. DAP nak Anwar jadi PM tetapi Majlis Syura Pas tidak setuju," katanya.

Penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, langkah pakatan pembangkang tidak mengumumkan lagi siapa bakal perdana menteri mungkin sebagai salah satu strategi mereka.

"Itu merupakan satu kelemahan dan rakyat sebagai pengundi pastinya nak tahu siapa bakal perdana menteri," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment