My Add

Tuesday 26 February 2013

Keputusan saman pemula Annuar Musa terhadap FAM 5 April

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
SHAH ALAM, SELASA, 26 Februari, 2013: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 April ini keputusan saman pemula yang difailkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berhubung penggantungannya.

Hakim Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh tersebut selepas menemui peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Annuar dan peguam Richard Bong Chong Fook yang mewakili FAM di kamar beliau hari ini.

Yusfarizal ketika ditemui pemberita di luar mahkamah menyatakan, prosiding pendengaran yang sepatutnya ditetapkan hari ini ditangguhkan kerana FAM selaku defendan belum memfailkan hujahan bertulis.

"Mahkamah memerintahkan defendan untuk memfailkan hujahan bertulis dalam tempoh tiga minggu.

"FAM semalam memfailkan permohonan Aturcara 33 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi mahkamah memutuskan persoalan undang-undang berhubung saman itu," katanya.

Menurutnya, mahkamah menetapkan 26 Mac ini untuk mendengar permohonan defendan itu.

Annuar memfailkan saman pemula tersebut di Mahkamah Tinggi di sini pada 5 Jun tahun lalu bagi menuntut 10 perisytiharan berhubung penggantungan beliau sebagai Timbalan Presiden FAM termasuk pertuduhan persatuan itu terhadap beliau dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mac tahun lalu adalah cacat, tidak sah dan terbatal.

Begitu juga perbicaraan tatatertib pada 4 April tahun lalu dan hukuman terhadap beliau pada keesokan harinya yang didakwa tidak mematuhi prinsip keadilan asasi.

Mengikut pernyataan tuntutan, Annuar mendakwa hukuman yang dijatuhkan ke atas beliau tidak sejajar dengan pertuduhan asal dan draf pertuduhan terhadapnya mengandungi kecacatan serta FAM telah bertindak secara mala fide (berniat jahat).

Katanya, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang dinamakan sebagai defendan kedua, dalam surat bertarikh 2 April lalu juga melarang beliau daripada menghantar wakil ke Mesyuarat Khas Ke-21 Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Ia dilakukan dengan alasan defendan itu sendiri yang akan mewakili plaintif, sedangkan defendan kedua tidak sepatutnya menjadi wakil plaintif kerana Azzuddin adalah pihak yang membuat tuduhan.

Sehubungan itu, Annuar memohon mahkamah mengisytiharkan kesemua tindakan yang membawa kepada penggantungan beliau itu tidak mematuhi statut dan kod tatatertib FAM yang sekali gus menjadikan ia terbatal dan tidak sah.

Turut dimohon adalah perintah injunksi menghalang pihak defendan daripada melarang beliau untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM dan lain-lain jawatan serta melibatkan diri dalam sebarang acara bola sepak.

Annuar digantung dua tahun setengah daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM sejak 4 April lalu oleh Jawatankuasa Tatatertib persatuan itu setelah didapati bersalah membuat kenyataan media tanpa izin dan melanggar arahan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Bagi pertuduhan pertama, Annuar digantung selama dua tahun sementara enam bulan lagi untuk pertuduhan kedua selepas didapati melanggar Artikel 88 Statut FAM edisi 2010-14 di bawah Perkara 4.5.8 (I) dan 4.5.8 (III). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment