My Add

Friday 29 March 2013

Alumni mahu bantu graduan UiTM sertai syarikat antarabangsa

SHAH ALAM, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) merancang mengadakan program meningkatkan kemahiran komunikasi siswazah universiti itu agar mereka lebih berkeyakinan untuk menyertai syarikat gergasi antarabangsa.

Presidennya, Datuk Mohd. Zaini Hassan berkata, pihaknya sedang berbincang dengan syarikat tertentu bagi mengadakan kerjasama untuk tujuan itu.

Selain itu, PAUiTM juga akan melaksanakan program bagi membantu anak-anak Orang Asli tidak keciciran dalam pelajaran serta berpeluang melanjutkan pelajaran ke UiTM, katanya berucap pada majlis doa selamat dan tahlil sempena pembukaan Rumah Alumni UiTM, di sini malam ini.

Bagi tujuan itu, PAUiTM akan cuba mendapatkan dana daripada kerajaan, kata Mohd. Zaini yang juga Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan Malaysia.

Pada majlis itu, beliau turut memperkenalkan pasukan bola sepak PAUiTM, dikenali sebagai Alumni UiTM FC yang akan menyertai liga UiTM pada April ini.

Penubuhan pasukan bola sepak PAUiTM itu juga wajar kerana ada penyokong yang terdiri daripada alumni UiTM berjumlah hampir 500,000 di seluruh Malaysia, katanya.

Beliau juga menegaskan, dengan anggota sebegitu ramai PAUiTM mempunyai kekuatan sendiri, dan jika setiap anggota menyumbang RM10 sebulan, PAUiTM berupaya mengumpul RM60 juta setahun yang boleh dimanfaatkan termasuk membina hotel sendiri, bukan sekadar memiliki pejabat operasi.

Turut hadir pada program itu ialah Naib Presiden PAUiTM, Datuk Zulkefli Salleh yang juga Ketua Pengarang Bernama. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment