My Add

Friday 29 March 2013

Malaysia mula terlibat proses dialog ke arah perdamaian di selatan Thai

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Kumpulan Kerja Bersama Proses Dialog Damai yang dibentuk bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah keganasan di wilayah Selatan Thai mencapai persetujuan muktamad dalam membentuk terma rujukan kumpulan itu.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat kedua Kumpulan Kerja itu di sini semalam yang dihadiri delegasi Thailand serta wakil-wakil Badan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemisah Islam di selatan Thailand.

Menurut kenyataan sekretariat kumpulan kerja itu yang dikeluarkan di sini, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Leftenan Jeneral Pharador Pattanatabut mengetuai delegasi Thailand manakala Ketua Pejabat Perhubungan BRN di Malaysia, Hassan Taib mengetuai delegasi badan tersebut.

Sementara bekas, Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim bertindak sebagai fasilitator bagi pihak kerajaan Malaysia.

Pada 28 Februari lepas, satu Dokumen Konsensus Am, perjanjian untuk membuka laluan bagi dialog proses damai di wilayah berkenaan ditandatangani kedua-dua pihak terbabit, yang turut bersetuju mempelawa Malaysia menjadi fasilitator untuk menggerakkan dialog itu.

Selain mengadakan pertemuan secara langsung, kedua-dua delegasi itu turut berpeluang bertukar maklumat dan pandangan mengenai isu keganasan di wilayah Selatan Thai secara telus dan terbuka, menurut kenyataan itu.

"Perbincangan juga tertumpu kepada mencari jalan penyelesaian masalah keganasan, memberi kemudahan dalam menyelesaikan masalah dan mewujudkan keadilan," katanya. Mesyuarat bersambung esok. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment