My Add

Friday, 29 March 2013

Penganjuran LIMA capai objektif - Zahid

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
LANGKAWI, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Peningkatan jumlah syarikat dan aset industri pertahanan yang mengambil bahagian dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 membuktikan pameran dwitahunan itu mencapai matlamat dan terus menarik perhatian ramai.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain tarikan dari segi demonstrasi dan pameran, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha keras serta kerjasama semua pihak dalam mempromosikan pameran itu yang kini memasuki edisi ke-12.

"Ia sekali gus menepis dakwaan khususnya dalam media sosial kononnya LIMA 2013 kurang mendapat sambutan berbanding edisi sebelumnya," katanya kepada pemberita di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, LIMA 2013 menyaksikan kenaikan lapan peratus penyertaan dalam kalangan syarikat berbanding edisi sebelum ini.

Beliau berkata, pameran kali ini disertai 226 syarikat tempatan yang mewakili 52 peratus penyertaan sementara bakinya, 48 peratus pula mewakili 207 syarikat dari luar negara.

Tambahnya, peningkatan itu menunjukkan pencapaian amat baik dan menepati objektif kerajaan untuk melihat penglibatan langsung syarikat-syarikat tempatan yang mengendalikan produk dan perkhidmatan dalam industri pertahanan, penguatkuasaan dan keselamatan.

Ahmad Zahid memberitahu, 12 edisi LIMA yang dianjurkan sejak 1991 hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melihat lebih banyak syarikat tempatan mengambil bahagian mencapai objektifnya.

"Ini terbukti dengan penyertaan 226 syarikat tempatan pada edisi kali ini berbanding tiga syarikat ketika pertama kali LIMA dianjurkan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment