My Add

Friday 29 March 2013

Maritim Malaysia tambah 5 pangkalan hadapan di Lahad Datu

Oleh SOFIAN BAHAROM
LANGKAWI, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan memantapkan penguatkuasaan maritim di sekitar Lahad Datu, Sabah termasuk menambah lima pangkalan hadapannya untuk melakukan kerja-kerja pemantauan lebih menyeluruh.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Amdan Kurish berkata, lima pangkalan tersebut ialah di Jambongan, Beluran, Felda Sahabat, Kunak dan Indra, Sabah selain dua pangkalan sedia ada di Tawau dan Sandakan.

Menurutnya, setiap pangkalan berkenaan akan menempatkan sekurang-kurangnya 10 anggota Maritim Malaysia berpengalaman selain tiga bot laju bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut.

"Maritim Malaysia turut menerima peruntukan sebanyak RM5.09 juta untuk membeli kelengkapan operasi termasuk 14 kontena mudah alih, jaket kalis peluru, helmet, senjata dan peluru bagi menyokong pelaksanaan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).

"Sementara fasa kedua peruntukan akan dibuat bagi pembelian segera beberapa aset berkaitan termasuk bot-bot berkelajuan lebih 50 knot untuk memperkasakan lagi kerja-kerja pemintasan bot serta operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya kepada pemberita sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 di sini hari ini.

Semalam, kerajaan meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM200 juta bagi menyokong pelaksanaan Esszone yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri. Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu bagi mengukuhkan pembelian aset dan pembangunan infrastruktur yang akan diperoleh serta dibina secepat mungkin.

Mohd. Amdan turut menyatakan keinginan agensi berkenaan untuk menambah aset seperti Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) atas kapasiti bot laju berkenaan yang mampu menjayakan kebanyakan misi antiperlanunan dan pencerobohan wilayah serta penyeludupan sebelum ini.

Turut digerakkan ke Lahad Datu, kata beliau, adalah bot-bot berkapasiti tinggi dari Semenanjung dan diletakkan di bawah seliaan Markas Angkatan Bersama (MAB) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Bagi jangka masa panjang, kami melihat terdapat keperluan untuk meningkatkan aset udara termasuk Agusta Westland AW139 dan pesawat Bombardier untuk kerja-kerja pemantauan," katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, keberkesanan agensi tersebut menjaga kedaulatan perairan negara menarik minat beberapa negara luar termasuk Myanmar dan Bangladesh untuk mengadaptasi model operasi Maritim Malaysia.

"Selain itu, pihak penguatkuasaan maritim dari Singapura dan Indonesia juga menunjukkan komitmen dalam kerjasama menjaga perairan dengan Maritim Malaysia di 'kawasan kelabu' yang menjadi syurga kepada golongan penyeludup.

"Sebelum ini, masalah kami penguat kuasa ketiga-tiga negara ialah penyeludup akan memasuki sempadan Singapura dan Indonesia apabila dikejar pasukan kita menyebabkan kita tidak boleh berbuat apa-apa, tetapi kini dengan hasil kerjasama itu, saya yakin perkara tersebut bukan lagi satu masalah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment