PPSB desak kerajaan DAP perjelas kedalaman projek terowong
GEORGE TOWN, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) hari ini meminta kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung kedalaman projek terowong dasar laut sepanjang 6.5km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam.
Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Datuk Ahmad Ibnihajar berkata, kerajaan negeri perlu mengemukakan maklumat terperinci berhubung projek itu memandangkan lokasi pembinaannya pastinya akan menyekat laluan kapal-kapal besar di sebelah utara, sekali gus mempengaruhi operasi PPSB.
"Kita nak tahu berapa kedalaman terowong itu nanti... mereka (kerajaan negeri) kata 14 meter. Kita mahu 17 meter ke 20 meter. Apa akan berlaku sekiranya terowong itu menyekat laluan kapal.
"Kita tak tahu apa akan berlaku pada tahun 2025, 2030.. kapal semakin besar dan laluan kapal perlu lebih dalam, baru kapal boleh masuk," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kerja PPSB di sini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq.
Ahmad berkata, kerajaan negeri sepatutnya berbincang dengan PPSB terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membina terowong dasar laut berkenaan.
"Kami dijemput selepas mereka membuat keputusan membina terowong, ini tidak adil dan ini bukan caranya," katanya.
Sementara itu, Nor Mohamed berkata, tindakan kerajaan negeri menjemput orang awam berbincang selepas memutuskan untuk membina terowong itu jelas membuktikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak mempunyai pengalaman mentadbir negeri.
"Kepimpinan yang baik, cara dia buat kerja sebelum buat satu keputusan dia akan bincang dengan semua pihak berkepentingan yang terlibat.
"... lepas tu buatlah keputusan. Itu cara seorang pemimpin sebuah kerajaan yang bijaksana, tahu mentadbir," kata Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor.
Sementara itu, bercakap pada sidang akhbar berasingan di sini Ketua Publisiti Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Cheng Liang berkata, BN Pulau Pinang membantah cadangan pembinaan terowong dasar laut itu kerana ia akan menjejaskan ekonomi Pulau Pinang berikutan kapal-kapal besar akan dihalang memasuki kawasan pelabuhan.
"Selama ini, lebih 90 peratus pelabur membawa masuk barangan melalui jalan laut kerana kos lebih murah dan jika mereka gagal berbuat demikian pasti Pulau Pinang akan terjejas teruk terutama pekerja kilang dan industri hiliran," kata Cheng Liang yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.
Katanya, BN negeri juga mahu Guan Eng memberi penjelasan mengenai 'salah taip' kos pembinaan projek terowong berkenaan tindakan itu didakwanya cuba menipu rakyat Pulau Pinang.
"Bagaimana semua itu (salah taip) boleh terjadi sedangkan perjanjian bagi projek berkenaan melibatkan syarikat luar negara, adakah syarikat itu juga melakukan perkara sama (salah taip).
"Rakyat Pulau Pinang perlu tahu perkara sebenar kerana ia (projek terowong) melibatkan kos yang besar. Sudah sampai masanya rakyat negeri ini buka mata dan minda, lihat permainan kerajaan negeri yang cuba menipu (rakyat Pulau Pinang)," katanya.
Akhbar melaporkan, Lim memberi alasan berlaku masalah silap taip dalam pengumumannya mengenai peningkatan kos sebanyak RM2.2 bilion bagi pembinaan projek terowong dasar laut yang sebelum ini dilaporkan hanya RM4.08 bilion dan terkini berjumlah RM6.3 bilion. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment