My Add

Monday, 1 April 2013


13 daripada 21 pembedahan dilaksanakan pakar perubatan Malaysia
 
 *DR. Mohamad Nor Sundari (kanan) dan Dr. Sami Karshally melakukan
pembedahan di Hospital Al-Quds, Gaza, semalam.

Oleh Gamal Nasir Mohd. Ali
GAZA, AHAD, 31 Mac, 2013: Setakat semalam, kumpulan pakar perubatan dari Malaysia, yang dibawa khas oleh Aman Palestin Berhad, telah berjaya melakukan 13 daripada 21 operasi pembedahan yang dirancang dilaksanakan semasa berada di sini.

Anggota kumpulan tersebut, Dr. Zairul Nizam Zainol Fithri berkata, semalam sebanyak 11 operasi pembedahan telah dilaksanakan dan hari ini, lagi dua pembedahan pula diselesaikan.

“Insya-Allah kita akan dapat melaksanakan kesemua 21 operasi pembedahan yang dirancang dan mungkin dapat melakukan lebih daripada jumlah tersebut," katanya kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Aman Palestin yang membawa kumpulan media dari Malaysia dalam Misi Kemanusiaan Gaza Ke-14 ini turut membawa enam doktor pakar ke negara ini bagi melaksanakan sekurang-kurangnya 12 operasi pembedahan bagi merawat penduduk Palestin yang amat memerlukannya.

Kumpulan pakar perubatan itu akan membuat 21 operasi pembedahan iaitu enam pembedahan ortopedik, 11 pembedahan urologi dan empat pembedahan neurologi, yang dianggarkan menelan kos RM500,000.

Pakar-pakar yang turut serta dalam rombongan seramai 18 orang ini ialah Dr. Zainurrashid Zainuddin dari Universiti Perubatan Antarabangsa Malaysia (IMU) yang juga ketua kumpulan, Dr. Hamid Gahazali dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Dr. Md. Mahir Abdullah dari Pusat Perubatan Shah Alam (SAMC), Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dari Hospital KPJ Perdana di Kota Bharu, Dr. Mohamad Nor Sundari dari Pusat Perubatan Kuantan (KMC) dan Dr. Zairul Nizam Zainol Fithri dari Hospital Pakar Senawang.

Sementara itu, Dr. Mohamad Nor berkata, pembedahan hampir dua jam yang dilakukannya semalam itu melibatkan pemindahan tulang (bone drafting) dari tulang punggung ke tulang keting di kaki kiri pesakit.

“Pesakit yang berusia 20 tahun mengalami kecederaan serius pada kaki kiri, yang mana sebahagian daripada tulang ketingnya sudah hancur dan menyebabkan kelopongan.

“Bagi mengatasi masalah itu, tiga bahagian tulang akan diambil dari tulang di punggung untuk disambungkan kepada tulang keting agar tulang baru itu akan tumbuh dan bersambung dengan tulang keting," katanya kepada sebelum memulakan pembedahan di Hospital Al-Quds di sini semalam.

Pihak hospital memaklumkan pembedahan tersebut dilakukan bersama-sama dengan Dr. Sami Karshally dari Palestin ke atas pesakit bernama Nadal Salaman, 20, yang tercedera akibat terkena serpihan serangan ganas roket Israel. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment