My Add

Monday, 1 April 2013

2 kem PLKN di Sabah ditangguh

Oleh FADZLY IZAB
MELAKA, AHAD, 31 Mac, 2013: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menangguhkan operasi dua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Sabah iaitu di Sandakan dan Tawau berikutan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa pelatih.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, kedua-dua kem itu ditutup sementara waktu bagi mengelakkan berlakunya sebarang masalah selain memberikan lebih tumpuan kepada pelatih PLKN Kumpulan Dua Siri 10/2013.

Menurut beliau, perkara itu diputuskan setelah mengambil kira saranan ibu bapa yang mahukan anak mereka mengikuti latihan dalam keadaan selamat dan selesa.

"Oleh itu, JLKN telah memindahkan 142 pelatih dari Semenanjung yang dipanggil mengikuti latihan di dua kem tersebut lalu ditempatkan semula di beberapa kem PLKN di Melaka dan Selangor.

"Sebanyak 846 daripada mereka pula telah ditangguhkan latihan dan bakal mengikuti program tersebut pada kumpulan tiga siri sama Ogos nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pelancaran Pergerakan Pelatih-Pelatih PLKN Kumpulan Dua Siri 10/2013 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Jelas Abdul Hadi, penangguhan dua kem itu bermakna, hanya 79 kem dibenarkan beroperasi bagi menempatkan kira-kira 42,000 pelatih PLKN bagi kumpulan dua tersebut dari seluruh negara.

"Pihak JLKN telah berbincang dengan pengusaha dua kem tersebut dan mereka akur bahawa ini adalah langkah terbaik yang perlu dilaksanakan bagi menjamin keberkesanan PLKN itu sendiri," ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, kemasukan bagi pelatih kumpulan dua pada tahun ini juga diawalkan berbanding tahun-tahun sebelumnya yang biasa diadakan pada Mei.

"Ini dilakukan khususnya untuk pelatih yang terpilih ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kolej matrikulasi dan sebagainya. Mereka perlu menamatkan latihan lebih awal dari tempoh sepatutnya

"Pelaksanaan program lebih awal bagi kumpulan dua ini bermakna setiap pelatih yang terpilih melanjutkan pengajian peringkat tinggi berpeluang menamatkan latihan PLKN terlebih dahulu," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment