Video bukti kukuh untuk saman
KUALA LUMPUR, AHAD, 31 Mac, 2013: Penyebaran video serta gambar skandal seks yang didakwa membabitkan pemimpin politik tempatan di laman web kebelakangan ini, merupakan bukti kukuh untuk pemimpin itu berundur atau sekurang-kurangnya menyaman pihak yang menyebarkan perkara tersebut.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, video serta gambar itu merupakan hikmah kepada kerajaan untuk bertindak proaktif dengan membawa perkara tersebut ke mahkamah ekoran dakwaan kononnya merupakan konspirasi kerajaan.
Selain itu, katanya, pihak yang didakwa terlibat atau 'pelakon' video berkenaan mempunyai hak sah di sisi undang-undang untuk mendakwa penyebar video tersebut serta kerajaan yang dituduh melakukan konspirasi berkenaan.
"Paling penting, ini merupakan hikmah bagi rakyat Malaysia khususnya penyokong pemimpin politik tertentu untuk membuka mata dan membuat pilihan.
"Bagi yang terlibat pula khususnya 'pelakon' itu, dia harus bermuhasabah dan tampil membersihkan diri di mahkamah atau berundur demi keutuhan agama serta menjaga keharmonian masyarakat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas ruangan "Analisis Mingguan Bisik-Bisik Awang Selamat" dalam Mingguan Malaysia hari ini yang mengulas tindakan ramai pemimpin politik luar negara melepaskan jawatan selepas dikaitkan terlibat dalam skandal seks, atau menonton video seperti itu.
Di bawah tajuk Iktibar Video Seks dalam pojok itu, artikel tersebut turut merujuk pemimpin Parti Kesejahteraan (PKS) Indonesia, Arifinto yang meletak jawatan dan berusaha memperbaiki diri antaranya dengan membaca al-Quran selepas didakwa menonton klip video lucah semasa Persidangan Perwakilan Rakyat pada 2011.
Ismail Mina berkata, pemimpin politik tempatan itu yang dituduh berdua-duaan di dalam sebuah bilik hotel seperti didedahkan blogger, Papa Gomo perlu segera membersihkan nama bagi mengelakkan fitnah.
Katanya, menurut buku bertajuk Hukum Barat Pun Islam terbitan Institut Kajian Dasar yang dikaitkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), bukti moden seperti gambar dan video adalah selaras dengan Islam dan cukup untuk mendakwa seseorang itu terlibat dalam salah laku moral.
"Adalah satu perbuatan yang haram untuk seorang lelaki berdua-duaan dengan lelaki "amrod" (rupa paras yang cantik), apatah lagi jika berdua-duaan dengan 'lelaki lembut'," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment