My Add

Tuesday 30 July 2013

23,905 hektar jelapang padi baharu dibuka

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Kerajaan membuka empat kawasan jelapang padi baharu berkeluasan 23,905 hektar bagi memenuhi permintaan beras yang mencecah 2.32 juta tan metrik pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, pengeluaran beras negara tahun lalu hanya pada tahap 1.774 juta tan metrik dengan tahap sara diri (SSL) makanan asas itu adalah 73.5 peratus.

"Empat jelapang padi baharu itu adalah di Pekan dan Rompin, Pahang di kawasan seluas 7,221 hektar dan 3,094 hektar; Batang Lupar, Sarawak (5,100 hektar) dan Kota Belud, Sabah (8,500 hektar).

"Jumlah keseluruhan kawasan jelapang padi baharu ini adalah 23,905 hektar dan dijangka mengeluarkan sebanyak 147,000 tan metrik beras serta meningkatkan tahap sara diri kepada 81 peratus," katanya menjawab soalan Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Menurut Tajuddin, beberapa makanan lain iaitu ikan, ayam, itik dan telur telah mencapai SSL melebihi 100 peratus, namun beberapa komoditi lain belum mencapai tahap tersebut iaitu beras, daging lembu, kerbau, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Jelas beliau, dengan tahap sara diri negara bagi daging kerbau pada 2012 adalah 30.1 peratus, kerajaan telah mengambil langkah mengagihkan 5,000 ekor lembu untuk penternakan oleh syarikat-syarikat kelapa sawit.

"Kerajaan juga mewujudkan kawasan tumpuan sasaran terdiri daripada 29 kawasan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit dengan sebanyak 73,000 ekor lembu telah diagihkan melibatkan kawasan seluas 25 hingga 30 hektar setiap kawasan," katanya.

Kata beliau, bagi tahap sara diri ikan, pengeluarannya yang mencapai 134.2 peratus daripada keperluan negara pada tahun lalu perlu diteliti bagi mengawal harga ikan yang naik di pasaran tempatan.

"Peningkatan harga ikan di pasaran disebabkan eksport ikan yang ditangkap menyebabkan harga ikan dalam pasaran tempatan meningkat. Kerajaan akan menyemak semula dasar berkaitan eksport ikan bagi menjamin harga ikan di pasaran tempatan," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Senator Mariany Mohammad Yit, Tajuddin memberitahu, sebanyak 7.7 bilion liter subsidi diesel dengan nilai RM11.1 bilion telah diagihkan kepada 34,000 nelayan merangkumi 6,800 bot dalam tempoh dari 2006 hingga Mac 2013.

Beliau memberitahu, jumlah pendaratan ikan sebanyak 1.43 tan metrik yang bernilai RM6.65 juta pada 2010 telah berjaya ditingkatkan kepada 1.47 tan metrik yang bernilai RM7.98 juta pada 2012.

"Kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengawal harga pasaran ikan termasuk membina pasar nelayan, memperkenalkan Program Ikan Rakyat, melaksanakan Peraturan Larangan Eksport Ikan Terpilih dan galakan promosi makan ikan air tawar," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment