Ahli keturunan India jadi mangsa Guan Eng?
KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013: Ahli DAP berketurunan India didakwa bakal menjadi mangsa yang tidak akan dipilih untuk menyertai DAP baharu sekiranya pendaftaran parti itu dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman yang menyatakan perkara itu memberitahu, kumpulan pertama yang pastinya disingkirkan oleh 'geng' pemimpin tertinggi utama DAP adalah 753 ahli yang tidak dibenarkan mengundi dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) lalu.
''Oleh itu, memang benar perkara ini berlaku (dakwaan pemindahan pemilikan aset DAP). Mereka pindah atas nama-nama orang kepercayaan dia (Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng) dengan harapan parti kini dibatalkan dan tubuh yang baharu serta semua dianggotai oleh geng dia.
''Ini memang rancangan dia (Guan Eng dan bapanya). Kebanyakan yang dia nak singkirkan ialah ahli India terutama 753 orang itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan aktivis MIC, Datuk R. Ramanan baru-baru ini bahawa DAP sedang dalam proses memindahkan pemilikan aset parti yang bernilai jutaan ringgit kepada beberapa individu paling dipercayai dan lama dalam parti itu.
Aktivis itu mendakwa, rancangan tersebut dipercayai berkait rapat dengan tekanan yang sedang dihadapi oleh DAP supaya diadakan semula pemilihan CEC.
Mohamed Razali menggesa Setiausaha Agung DAP itu supaya berterus-terang dan menjawab dakwaan tersebut sekiranya tidak benar demi memberi kelegaan kepada semua ahlinya terutama ahli berketurunan India.
''Saya harap dia berterus-terang meskipun saya yakin dia tidak akan berbuat demikian. Guan Eng pandai putar belit kononnya dia sahaja yang baik. Dia akan buat apa sahaja bagi meneruskan 'Dinasti Lim','' katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment