My Add

Thursday 4 July 2013

Generasi kedua Felda perlu jadi warga global

LONDON, RABU, 03 Julai, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu generasi kedua Felda menjadi warga global, meningkatkan status mereka dalam ekonomi dan karier untuk mentransformasikan kejayaan ibu bapa mereka sebagai peneroka tanah rancangan.

Berucap kepada sekumpulan 130 pelajar, dengan 100 daripadanya anak peneroka Felda yang dibawa khas ke United Kingdom untuk menuntut selama satu semester di Universiti LimKokWing cawangan London di sini, Najib berkata, program khas Felda itu telah berjaya mentransformasikan para pelajar terlibat dari segi ilmu pengetahuan dan membina keyakinan mereka.

Beliau yang menerima sambutan hangat daripada para pelajar itu yang antaranya menyanyikan lagu 1Malaysia dan iM4U berkata, ibu bapa para pelajar yang berasal dari tanah rancangan Felda itu berjaya membuka tanah rancangan getah dan kelapa sawit serta membangunkannya menggunakan tenaga fizikal.

“Tugas anda pula sebagai generasi kedua ialah membuka minda. Generasi pertama Felda adalah sangat lokal dan domestik… anda adalah warga global," katanya.

Ketika menyampaikan ucapan itu, para pelajar berkenaan tidak henti-henti memuji, memberi semangat kepada Najib dan dengan penuh meriah meneriakkan kata-kata “We Love PM".

Dunia, kata Najib, telah berubah dan generasi kedua Felda tidak boleh kekal dengan apa yang ibu bapa mereka lakukan selama ini.

“Kita tidak boleh bergerak maju sebagai sebuah negara jika kita kekal dengan apa yang kita ada selama ini," katanya.

Dalam merancang pendidikan anak-anak Felda, Najib menjelaskan, negara amat memerlukan rakyat yang terlatih.

“Kita mempunyai visi, kita mempunyai impian dan kita mempunyai matlamat. Apakah yang menjadikannya suatu kenyataan?

“Pertamanya, kita perlukan rakyat - rakyat yang telah ditransformasikan," kata Perdana Menteri.

“Kerana itulah saya sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai Felda membuat keputusan untuk menghantar anda semua ke London untuk mendapatkan pengetahuan dan pengalaman baharu. Wang yang diperuntukkan itu telah dibelanjakan untuk tujuan yang bermanfaat.

“Saya ingin menyatakan komitmen bahawa kita akan meneruskan projek ini (menghantar para pelajar yang berasal dari Felda ke London) pada masa hadapan. Anda semua adalah testimoni kepada kejayaan program ini," kata Najib yang dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke United Kingdom.

Felda mempunyai program pendidikan strategik dengan Universiti LimKokWing di Cyberjaya. Kumpulan pelajar tajaan Felda belajar di universiti itu di Cyberjaya dan sebahagian daripada mereka dihantar oleh Universiti LimKokWing ke cawangan universiti itu di Piccadilly di sini selama satu semester. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment