My Add

Tuesday 2 July 2013

Gunakan kebebasan bersuara dengan bijak

KUANTAN, SELASA, 02 Julai, 2013: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah hari ini bertitah rakyat perlu bertindak wajar dan menggunakan kebebasan bersuara yang dinikmati di negara ini dengan bijak.

Baginda bertitah rakyat perlu berfikir sebaik-baiknya dalam menangani dan memelihara keharmonian rakyat berbilang kaum serta menyatakan pendapat yang membina melalui saluran yang sesuai.

"Beta berasa dukacita dengan sikap sesetengah pihak yang masih mengganggu gugat keamanan dan kestabilan negara dengan mengadakan demonstrasi serta perhimpunan tanpa mengikut undang-undang.

"Sepatutnya kita sebagai rakyat di negara demokrasi berparlimen seharusnya menunjukkan sikap yang bijak dalam menangani dan memelihara keharmonian rakyat berbilang kaum.

"Tidak perlu kita berarak di jalanan seperti berlaku di negara-negara luar kerana ini akhirnya akan mencetuskan pergaduhan dan pertumpahan darah. Beta berharap budaya dan cara negatif ini tidak menular ke negeri Pahang yang tercinta," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada perasmian pembukaan penggal pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-13 di bangunan Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman. Turut hadir, Menteri Besar yang juga Adun Pelangai Datuk Seri Adnan Yaakob dan 41 wakil rakyat Barisan Nasional dan pembangkang. 

Sultan Ahmad Shah turut meminta rakyat agar terus menghargai keharmonian kaum yang dikecapi hari ini yang diperoleh hasil kerjasama semua pihak dan perjuangan tokoh-tokoh tanah air terdahulu.

"Ia perlu dikekalkan agar menjadi warisan generasi sekarang dan pada masa akan datang. Perpaduan kaum yang erat merupakan tonggak kejayaan negara kita selama ini dan perlulah dikekalkan selamanya," titah baginda.

Baginda dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada Speaker DUN yang baharu Datuk Ishak Mohamad serta semua anggota dewan undangan negeri (Adun) yang dipilih pada pilihan raya umum ke-13.

Sidang DUN ditangguh dan akan bersidang semula pada jam 9 pagi esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment