My Add

Tuesday 2 July 2013

Kajian semula pasangan guru hidup berjauhan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Julai, 2013: Guru-guru yang hidup berjauhan dengan pasangan masing-masing, dari segi kemanusiaannya diakui tidak elok dan kurang sesuai terutama pada mereka yang baru melangsungkan perkahwinan.

Sehubungan itu Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, pihak kementerian sedia mengkaji semula isu tersebut bagi membolehkan masalah berkenaan dapat diatasi.

Katanya, beliau sendiri ketika bertugas sebagai pengetua sentiasa memberi sokongan penuh kepada guru-guru yang memohon untuk berpindah atas sebab mengikut pasangan masing-masing.

''Berkaitan dengan isu pertukaran ini, memang berdasarkan kemanusiaan, tidak sesuai dan tidak baik untuk suami atau isteri dipisahkan. (Oleh itu) Pihak kementerian akan kaji balik isu ini," katanya pada soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan asal Hasbullah, Mary Yap berkata, selari dengan status dan peranan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dalam memenuhi tanggungjawab melahirkan guru berkualiti, pihak kementerian pada tahun ini telah memberi tanggungjawab kepada IPGM untuk melaksanakan salah satu daripada 24 inisiatif utama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

''Inisiatif itu merupakan empat aktiviti di bawah Bidang Keberhasilan Utama Kebangsaan (NKRA) menerusi inisiatif Piagam Guru Baharu. Empat aktiviti itu ialah kempen berprofil tinggi bagi menarik calon terbaik dan akauntabiliti institut perguruan melalui penarafan IPGM.

''Dua lagi aktiviti ialah pengukuhan latihan perguruan melalui latihan praktikal dan pembangunan profesionalisme dan pengurusan prestasi untuk pensyarah di IPGM," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, bagi meningkatkan prestij IPGM setanding dengan institut pengajian tinggi awam (IPTA), satu pelan strategi telah dirangka bagi mencapai hasrat tersebut.

''Pelan strategi ini ialah mencapai sasaran 33 peratus pensyarah IPGM memiliki iajzah kedoktoran (PhD) menjelang 2020 manakala 100 peratus pensyarah memiliki sarjana menjelang 2018.

''Untuk makluman pada 2012, daripada 3,947 pensyarah IPGM, sebanyak 308 orang adalah pemegang doktor falsafah dan 3,057 sarjana," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment