My Add

Tuesday 30 July 2013

Kampung Simunul dipindahkan

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

KOTA BELUD, ISNIN, 29 Julai, 2013: Kampung Simunul di Semporna yang telah mencatat sejarah hitam dalam episod keselamatan negara akan menjadi kampung air pertama di Sabah yang akan dipindahkan bagi mengekang sebarang aktiviti keganasan yang berpunca daripada perkampungan atas air.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pemindahan yang akan dilakukan seberapa segera itu akan menjadi perintis sebelum pemindahan secara berperingkat dilakukan ke atas kampung-kampung lain mengikut keutamaan risiko keselamatan kampung terbabit kepada Sabah.

"Saya minta mereka yang terlibat dalam pemindahan ini akur kerana ini bukan soal mendiskriminasikan mereka tetapi soal keselamatan negara yang amat penting dan perlu diselesaikan.

"Jadi saya minta mereka memberikan kerjasama atas dasar keselamatan negara kita," katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama masyarakat di Masjid Pekan Kota Belud, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Musbah Jamli; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Awadnir Matanggal; Ketua Wilayah Sabah Bank Rakyat, Zainal Amini Sulaiman dan Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kota Belud, Mahmood Ahmad.

Dalam majlis itu, Zainal Amini turut menyampaikan sumbangan zakat Bank Rakyat sebanyak RM30,000 untuk membantu saudara-saudara baru di daerah ini yang disampaikan kepada Abdul Rahman.

Menurut Abdul Rahman, kerajaan memandang serius usaha pemindahan berkenaan dimana Kabinet telah membincangkan kaedah dan perancangan bagi memindahkan penduduk di kampung-kampung air yang berisiko ke lokasi yang lebih teratur dan selamat.

Sehubungan itu katanya, pada peringkat awal pihaknya bercadang menempatkan penduduk di kawasan Kampung Simunul, Semporna ke kawasan perumahan rakyat di Jalan Bubul Lama yang mempunyai 800 unit kediaman dan dijangka siap menjelang awal tahun depan.

Katanya, selain itu kerajaan akan turut membina perumahan baru memandangkan perumahan di Jalan Bubul Lama itu tidak mencukupi menampung pemindahan keseluruhan penduduk di sepanjang kawasan kampung air berkenaan.

"Kalau kita gunakan projek yang ada sekarang ini tahun hadapan, insya-Allah projek itu selesai tetapi kalau projek baru, mungkin memakan masa dua hingga tiga tahun. Maknanya kalau mula tahun ini, dua atau tiga tahun akan siap dan penduduk berkenaan boleh dipindahkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak kerajaan akan memastikan kebajikan dan kepentingan penduduk yang terlibat dalam pemindahan diambil kira supaya ia tidak membebankan mereka.

Katanya, pemindahan yang melibatkan penduduk yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan itu akan dilakukan tanpa menjejaskan punca pendapatan mereka.

"Mungkin kita terpaksa memikirkan satu fenomena kerana ini akan mengubah cara hidup mereka, pertamanya mereka hidup dalam rumah yang begitu besar dengan dua, tiga keluarga dan kalau mereka dipindahkan ke satu rumah perlu ada penyesuaian dari segi cara hidup mereka.

"Bagaimanapun apa pun yang kita lakukan, isu keselamatan negara perlu diberikan penekanan dan keutamaan nombor satu," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment