My Add

Monday 1 July 2013

Najib tiba di London untuk lawatan kerja 4 hari

Daripada BAHAROM MAHUSIN

LONDON, ISNIN, 01 Julai, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di ibu kota United Kingdom di sini pagi ini bagi memulakan lawatan kerja empat hari dalam rangka untuk meningkatkan pelaburan dan jumlah perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom kepada RM26 bilion setahun menjelang 2016.

Lawatan kerja itu bermula hari ini dengan ketibaan pesawat yang membawa Perdana Menteri Malaysia itu di Lapangan Terbang Farnborough, kira-kira 80 kilometer dari sini. Najib tiba dari Dar Es Salaam, Tanzania selepas mengunjungi negara timur Afrika itu selama empat hari kerana menghadiri Dialog Perkongsian Pintar Global 2013.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong, antara program yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri di London ialah upacara pecah tanah projek pembangunan semula Stesen Janakuasa Battersea, sebuah stesen arang batu yang suatu masa dahulu menjadi ikonik kepada pembangunan di selatan London.

Dalam taklimatnya kepada wartawan di sini menjelang lawatan kerja itu, Zakaria memberitahu, Najib akan bersama-sama Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron merasmikan upacara pecah tanah projek pembangunan semula stesen itu dengan nilai pembangunan semula sebanyak 8 bilion pound sterling (RM40 bilion).

Terletak di pinggir Sungai Thames yang terkenal, Stesen Janakuasa Battersea dibina pada tahun 1933. Setelah terbiar sejak tahun 1983, usaha untuk memajukan kawasan seluas 39 ekar itu oleh pelbagai pihak menemui kegagalan dan jalan buntu.

Bagaimanapun, pada tahun 2012, konsortium pelabur dari Malaysia yang terdiri daripada SP Setia, Sime Darby dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memenangi bidaan di pasaran terbuka yang dikeluarkan oleh Majlis Tempatan Wandsworth bagi memajukan semula kawasan tersebut.

Apabila siap nanti, Stesen Janakuasa Battersea bakal berubah wajah menjadi ikon kosmopolitan baharu London yang akan menempatkan 3,500 buat apartmen mewah, kedai dan pejabat selain sebuah taman awam. Projek pembinaan akan bermula secara rasmi Oktober ini dengan Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan pihak pemaju akan membina semula serombong stesen janakuasa itu, yang dianggap satu binaan warisan, dalam pelan pembangunan mereka.

Menurut Zakaria, sejak Cameron memimpin kerajaan campuran Konservatif dan Liberal Demokrat yang memerintah United Kingdom selepas pilihan raya umum 2010, Malaysia dan Britain memasuki fasa hubungan yang lebih rapat.

Pada April 2011, Cameron membuat lawatan rasmi ke Malaysia sebagai membalas kunjungan Najib ke Britain pada tahun 2010.

"Dalam kunjungan itu, kedua-dua Perdana Menteri melahirkan hasrat untuk meningkatkan jumlah dagangan United Kingdom-Malaysia sekali ganda daripada angka RM13 bilion setahun," katanya.

Secara kasar, kata Zakaria, Malaysia dan Britain ingin melipatgandakan jumlah dagangan kepada RM26 bilion setahun menjelang 2016 dan objektif itu hanya akan tercapai dengan wujudnya keterlibatan kedua-dua kerajaan, khususnya Suruhanjaya Tinggi dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Maltrade).

Kepada Zakaria, projek pembangunan semula Stesen Janakuasa Battersea menjadi simbol yang memperlihatkan betapa eratnya hubungan Malaysia dan United Kingdom pada waktu ini serta impak positifnya kepada potensi ekonomi, bisnes dan pelaburan kedua-dua negara.

Bagi menunjukkan betapa pentingnya projek tersebut, Najib dan Cameron dijadualkan mengadakan rundingan bilateral di tapak Stesen Janakuasa Battersea pada Khamis ini.

"Dalam pertemuan bilateral itu, Perdana Menteri Malaysia dan United Kingdom pasti akan membuat kajian dan susulan kepada apa yang telah mereka bincangkan dalam pertemuan bilateral pada tahun 2010 dan 2011," ujar Zakaria.

Isu lain yang dijangka disentuh ialah konflik di Syria dan Asia Barat, perdagangan dunia yang muram dan Gerakan Kesederhanaan Global, iaitu salah satu inisiatif pentadbiran Najib, yang kini menjadi elemen penting dalam pembinaan bangsa, khususnya bagi memberi idea kepada United Kingdom yang telah bertukar menjadi sebuah negara majmuk dengan rakyat pelbagai keturunan, budaya dan agama.

Kata Zakaria: "Ekoran proses migrasi, United Kingdom bukan lagi sebuah negara yang homogeneous dan ketika ini kerajaan United Kingdom memberi penekanan kepada isu-isu asimilasi rakyat."

Sebelum upacara pecah tanah di Battersea Khamis ini, Najib yang tiba bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, akan melancarkan Pusat Outreach IM4U United Kingdom pada Selasa ini. Ia merupakan sebuah pusat yang akan membantu belia Malaysia, khususnya yang tinggal dan belajar di sekitar London, membina rangkaian untuk mencapai matlamat program 1M4U yang dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Pada Rabu, Najib akan menghadiri sesi bersama 130 orang pelajar Felda dan bukan Felda dari Malaysia yang terlibat dalam program pendidikan jangka pendek di Universiti Lim Kok Wing di Picadilly selain menghadiri jamuan makan malam dengan masyarakat Malaysia di Hotel Intercontinental Park Lane di sini.

Zakaria memberitahu, Perdana Menteri juga dijemput menghadiri majlis ramah mesra oleh Rakan Barisan Nasional United Kingdom di sebuah bilik di House of Lords di bangunan Parlimen United Kingdom.

Rakan Barisan Nasional United Kingdom ialah sebuah rangkaian yang dilancarkan oleh Najib dalam lawatan dua harinya ke London pada Mei tahun lalu.

Antara tokoh yang terlibat ialah Lord Sheikh of Cornhill selain ia juga dijangka dihadiri oleh Pengerusi Bersama Parti Konservatif, Baroness Sayeeda Warsi dan Menteri Negara di Pejabat Komanwel dan Hal Ehwal Luar United Kingdom, Hugo Swire.

Najib turut menyertai taklimat media Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) pada Rabu. Sekretariat Tetap WIEF yang berpangkalan di Kuala Lumpur merancang menganjurkan forum khas di London Oktober ini bagi mendedahkan dunia Islam dan Eropah kepada trend ekonomi dan prospek kerjasama Islam dan Eropah. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment