My Add

Thursday 4 July 2013

OKU didiskriminasi syarikat insurans

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
 
 Rohani Abdul Karim
PUTRAJAYA, RABU, 03 Julai, 2013: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kecewa dengan sikap sesetengah syarikat insurans yang mengamalkan diskriminasi terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).

Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya menerima aduan golongan tersebut yang mendakwa menerima kekangan daripada pihak insurans untuk membeli polisi insurans.

"Kita terkejut apabila menerima aduan ada OKU cacat penglihatan dihalang membeli insurans gadai janji, kita berpendapat isu sebegini tidak seharusnya timbul.

"Berdasarkan maklum balas yang diterima dari Bank Negara, tidak terdapat syarat yang menghalang golongan tersebut membeli sebarang jenis insurans," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi OKU di kementeriannya, di sini hari ini.

Menurut Rohani, lebih mengecewakan pihaknya turut menerima aduan golongan tersebut diminta membuat bayaran premium yang tinggi berbanding orang normal.

Katanya, tindakan diskriminasi tersebut tidak seharusnya berlaku kerana rata-rata golongan OKU tidak mampu menjelaskan bayaran yang tinggi.

"Kita minta Bank Negara siasat secara terperinci isu ini dan mungkin boleh diwujudkan polisi baharu khusus untuk golongan OKU," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga akan mengadakan program jelajah advokasi ke seluruh negara bagi memperluaskan pendaftaran golongan OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rohani berkata, menerusi pendaftaran tersebut, golongan OKU bakal menikmati 25 kemudahan dan keistimewaan yang disediakan pihak kerajaan dan swasta.

"Antara kemudahan yang disediakan termasuk bantuan OKU tidak berupaya kerja, pengecualian cukai jalan dan pengecualian bayaran dokumen perjalanan ke luar negara.

"Selain itu, JKM juga sedang melaksanakan penukaran kad lama kepada kad baharu yang lebih berkualiti dan mempunyai cip simpanan data," katanya.

Sementara itu, mengulas mesyuarat kali pertama itu, Rohani berkata, pihaknya bersetuju untuk melantik seramai 10 ahli majlis baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2014.

Katanya, keanggotaan majlis itu dipilih merangkumi pelbagai kategori termasuk ibu bapa kepada OKU, pakar perubatan dan ahli akademik bagi membincangkan masalah golongan tersebut dalam pelbagai perspektif. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment