My Add

Tuesday 2 July 2013

Pemberian kewarganegaraan di Sabah digantung

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 2013: Pemberian taraf kewarganegaraan di Sabah digantung dahulu hingga siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu pendatang asing tanpa izin di Sabah selesai, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa permohonan dan pemberian taraf kewarganegaraan akan diteruskan sebaik sahaja siasatan RCI itu tamat.

Beliau juga memaklumkan bahawa pemberian taraf kewarganegaraan berjalan seperti biasa di Sarawak, antaranya melalui program 'outreach' bagi memastikan anak-anak tempatan dapat menikmati kemudahan pendidikan dan bantuan kerajaan.

"Saya berbincang dengan Ketua Menteri Sarawak bahawa kita tidak mahu masyarakat yang tidak berstatus warganegara, menjadi masyarakat yang terbuang dan tersisih di masa hadapan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu).

Tiong ingin tahu rancangan kementerian untuk menyelesaikan masalah permohonan taraf kewarganegaraan anak-anak Sabah dan Sarawak.

Wan Junaidi berkata kuasa khas di bawah undang-undang negeri akan diberikan kepada ketua kampung, ketua kaum dan kapitan Cina membantu Jabatan Pendaftaran Negara mengenalpasti status perkahwinan dan kewarganegaraan ibu bapa.

Beliau juga meminta wakil-wakil rakyat yang mempunyai masalah kewarganegaraan di kawasan masing-masing untuk membawa dokumen berkaitan dan berjumpa dengan beliau. 

Menjawab soalan asal Tiong mengenai jumlah permohonan taraf kewarganegaraan yang telah diluluskan kerajaan di Bintulu, Sarawak sejak lima tahun lalu, Wan Junaidi berkata sebanyak 1,507 permohonan diluluskan.

Mengenai jumlah kes yang masih tertunggak, Wan Junaidi berkata: "Pada masa ini, tidak ada permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang dikategorikan sebagai tertunggak."

Sehubungan itu, beliau berkata beban untuk membuktikan kelayakan untuk dianugerahkan taraf kewarganegaraan Malaysia adalah di bawah tanggungjawab pemohon. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment