My Add

Friday 5 July 2013

Penyamun mati ditembak ahli perniagaan di poliklinik

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Seorang lelaki mati ditembak seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dalam kejadian samun di sebuah poliklinik di Taman Pertama, Cheras malam tadi.

Suspek yang berusia linkungan 20-an itu mati di tempat kejadian akibat ditembak di bahagian lutut, perut serta pinggul.

Mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata kejadian berlaku kira-kira pada 9.50 malam apabila Tan Sri itu yang kebetulan sedang mendapatkan rawatan di poliklinik berkenaan turut diserang suspek dan dua rakannya.

"Salah seorang suspek dilaporkan menolak dan menghayunkan parang ke arah Tan Sri berkenaan. Akibat tindakan itu beliau luka di kulit perutnya. Namun beliau sempat mengeluarkan senjata api miliknya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah ketiga-tiga suspek.

"Dua suspek yang selamat itu kemudiannya melarikan diri tetapi salah seorang daripada mereka didapati rebah di atas jalan raya kira-kira 30 meter daripada poliklinik tersebut, namun berjaya melarikan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Polis percaya terdapat seorang lagi rakan suspek yang menunggu di luar poliklinik itu ketika kejadian dan turut melarikan diri.

Polis menemui sebilah parang, empat kelongsong peluru dan sebuah kereta jenis Nissan Latio yang dilaporkan hilang di Taman Mahkota, Batu 9, Kajang pada 3 Julai lalu, di tempat kejadian.

"Kami percaya kumpulan ini banyak melakukan samun ke atas klinik dan outlet yang beroperasi sehingga lewat malam dan 24 jam seperti 7-Eleven. Kita akan mengesan tiga lagi suspek tersebut yang berjaya melarikan diri.

"Kita percaya ada antara mereka yang cedera akibat tembakan yang dilepaskan Tan Sri berkenaan dan sedang mendapatkan rawatan di pusat perubatan atau hospital," kata Mohan Singh.

Beliau meminta mana-mana institusi perubatan supaya melaporkan kepada pihak polis jika terdapat orang yang mencurigakan datang untuk mendapatkan rawatan.

Menceritakan detik cemas tersebut, G Nitya, 24, jururawat yang bertugas di poliklinik tersebut ketika itu berkata beliau sedang membantu doktor merawat seorang pesakit apabila didatangi dua suspek yang turut merampas rantai, telefon bimbit serta cincin miliknya.

"Mereka mengambil masa hanya lima minit untuk menyamun," katanya.

Terdapat tiga pekerja, seorang doktor dan tujuh pesakit di poliklinik berkenaan ketika kejadian. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment