My Add

Tuesday 2 July 2013

Polis kekal siasat insiden Lahad Datu

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Julai, 2013: Siasatan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah akan kekal di bawah tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun kawalan keselamatan telah diserahkan kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, Esscom ditugaskan untuk memberi penekanan dari segi kawalan keselamatan manakala polis akan terus terlibat dalam siasatan dan penguatkuasaan undang-undang insiden itu.

“PDRM masih lagi berperanan dalam siasatan kes insiden itu tetapi kami akan turut memberi bantuan jika diperlukan dari segi kawalan," katanya kepada pemberita selepas Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis ke-206 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini hari ini.

Mohd. Bakri berkata, PDRM akan turut menambah jumlah keanggotaan dan kemudahan logistik untuk ditempatkan di kawasan pantai timur Sabah itu.

“Balai-balai yang terlibat dengan Esscom akan ditambah dengan jumlah keanggotaan dan kemudahan lain bergantung kepada keperluan," katanya lagi.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah sebenar yang diperlukan masih belum boleh didedahkan.

Sementara itu, berhubung sistem laporan dalam talian yang akan dibangunkan oleh PDRM dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Bakri memberitahu, pihaknya akan mengumumkan jenis-jenis kes yang boleh menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Kami akan mengumumkan secara rasmi kes-kes yang dilaporkan yang boleh menggunakan khidmat secara dalam talian yang akan diperkenalkan September depan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment