My Add

Thursday 4 July 2013

Sani United gagal saman Utusan, akhbar Kosmo!

KUALA LUMPUR, RABU, 03 Julai, 2013: Syarikat bas ekspres Sani United Berhad hari ini sekali lagi gagal dalam tuntutan saman fitnah terhadap syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menolak saman yang difailkan terhadap syarikat akhbar itu, Editor Kosmo dan dua wartawan Kosmo! Luqman Hakim Ab Rahim dan Kumara Sabapathy di dalam kamar dengan dihadiri peguam Azhar Arman Ali yang mewakili kesemua defendan dan peguam Khairun Niza Husnin bagi pihak syarikat Sani United.

Saman itu berkaitan penyiaran artikel bertarikh 6 Januari 2010 mengenai kemalangan membabitkan bas milik syarikat itu pada 26 Disember 2009.

Pada 18 Jun lepas, mahkamah menolak saman fitnah berkaitan artikel yang sama yang difailkan Sani United terhadap Utusan dan Editor Kosmo! dengan kos RM25,000.

Sementara itu, Azhar memberitahu pemberita bahawa Hakim Hue menolak saman itu setelah mendapati bahawa tiada elemen berniat jahat dan artikel itu melaporkan apa yang benar sepertimana diberitahu oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), yang membatalkan permit bas tersebut.

Syarikat itu memfailkan saman pada 21 Mei tahun lepas dengan mendakwa akhbar Kosmo! menerbitkan artikel palsu berhubung pembatalan permit sebuah bas ekspres milik Sani United. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment