My Add

Tuesday 30 July 2013

TPM bimbang trend hubungan antara kaum

 Muhyiddin Yassin
IPOH, ISNIN, 29 Julai, 2013: Trend mutakhir dalam masyarakat hari ini semakin membimbangkan terutama dalam konteks hubungan antara kaum sehingga menimbulkan isu polarisasi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata masyarakat hari ini dilihat mudah sensitif sehingga usaha baik yang dirancang oleh kerajaan dianggap negatif dan dijadikan isu yang menyentuh perkauman seperti apa yang berlaku terhadap Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP).

"Saya dimaklumkan perhimpunan konvensyen yang dibuat oleh Dong Zhong semalam membuat resolusi untuk menghalang apa yang kita buat dalam PIPP, yang dibentuk untuk memajukan sektor pendidikan.

"Ia (PIPP) dirancang dengan niat yang baik, bagaimanapun ia dilihat berbaur perkauman...13 tahun (pelaksanaan PIPP) dilihat sebagai usaha menghapuskan bahasa ibunda mereka," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir di sini, malam ini.

Beliau berkata Dong Zhong melihat niat baik kerajaan itu sebagai perkara perkauman walaupun kerajaan mengambil masa hampir dua tahun untuk mengumpul input PIPP, supaya sejajar dengan Akta Pendidikan serta Falsafah Pendidkan Negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata trend itu tidak membantu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan semua kaum.

Dalam pada itu, beliau meminta umat Islam mementingkan perpaduan, hubungan mesra serta persefahaman berikutan sentiasa berdepan cabaran hebat.

"Dalam suasana begini, masyarakat Islam perlu kukuhkan jemaah...kerana adanya anggapan bahawa masyarakat Islam tidak kukuh berikutan pelbagai puak Melayu, ramai yang lantang sehingga berani mempersoalkan hak-hak dalam Perlembagaan, agama dan raja," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan berupa kurma, air zam-zam, kain pelikat dan jubah kepada pengerusi dan anggota jawatankuasa masjid daerah dari seluruh negeri.

Selepas berbuka puasa, beliau dan Zambry, Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, exco kerajaan negeri serta umat Islam menunaikan solat Maghrib, Isyak serta tarawih berjemaah yang diimamkan guru Al-Quran Masjidil Haram, Makkah, Sheikh Osama Mohammad Iqbal. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment