My Add

Sunday, 1 December 2013

Hampir 3 juta panggilan kecemasan sebulan

Oleh ROZIANAH RISMAN
 
 * AHMAD Shabery Cheek (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Penyelia Pusat Panggilan 999, Maziyana Md. Nordin (duduk) ketika menerima demonstrasi panggilan kecemasan semasa lawatan ke Pusat Operasi Mers 999 di Telekom Malaysia Annexe 2, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Dr. Halim Shafie (tengah). - MINGGUAN/ AZLIZA HAILANI
KUALA LUMPUR, SABTU, 30 November, 2013:  Pusat panggilan kecemasan Malaysia (MERS) 999 menerima hampir tiga juta panggilan kecemasan daripada orang ramai dalam tempoh sebulan namun hanya 41,000 panggilan melibatkan kes yang benar-benar berlaku.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kebanyakan panggilan yang diterima daripada pengguna yang senyap atau tanpa disedari terdail nombor kecemasan di samping terdapat juga dalam kalangan mereka yang sengaja membuat panggilan palsu dengan niat mengganggu petugas.

"Sehubungan itu kita berharap panggilan-panggilan palsu dan gangguan seperti ini tidak berlaku dan dapat dikurangkan secepat mungkin.

"Statistik panggilan palsu atau yang tidak disengajakan, bagaimanapun mula menampakkan penurunan apabila panggilan sebegitu sudah berkurangan sebanyak 20 peratus sejak beberapa bulan lalu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke MERS 999 di bangunan Telekom Malaysia Annexe 2 di sini hari ini.

Turut sama, Pengerusi TM, Datuk Seri Dr. Halim Shafie.

Tambah Ahmad Shabery, faktor kesedaran orang ramai yang semakin meningkat antara penyumbang kepada penurunan panggilan palsu tersebut namun usaha akan terus dilakukan bagi memastikan perkhidmatan ini mencapai taraf lima bintang.

"MERS 999 merupakan satu sistem lima bintang yang dibina kerajaan. Jadi kita sebenarnya mahu mencapai tahap lima bintang yang sebenar dan kalau boleh enam bintang.

"Namun keadaan itu turut bergantung kepada orang ramai yang menggunakan dan menghargai kemudahan itu sebagai sebuah sistem lima bintang sebagaimana mereka menggunakan perkhidmatan hotel lima bintang," katanya.

Katanya, secara purata bagi setiap seorang petugas MERS 999, mereka menerima 800 hingga 1,200 panggilan kecemasan dalam sehari.

''Walaupun masih terdapat kelemahan dalam MERS 999, usaha giat dilakukan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment