My Add

Wednesday, 25 December 2013

Himpunan Guling Kerajaan: Golongan muda diperdaya

Oleh NURULANUAR MANSOR

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Disember, 2013: Golongan muda yang mahu menyertai Himpunan Guling Kerajaan pada 31 Disember ini sebenarnya telah diperdayakan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan.

Golongan tersebut, kata Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM), Datuk Ali Shamsudin, telah dimomokkan oleh pihak-pihak berkenaan dengan dakwaan bahawa demonstrasi jalan merupakan satu-satunya jalan bagi memaksa kerajaan mendengar ketidakpuasan hati mereka.

Beliau yang berkata demikian dalam satu sidang akhbar di sini hari ini turut menyatakan pihak-pihak berkenaan melemparkan dakyah tersebut kerana menyedari bahawa rakyat kini semakin kembali menyokong kerajaan.

Selain itu, Ali menyatakan, adalah tidak rasional untuk mengadakan demonstrasi jalanan sebegitu kerana kerajaan sentiasa membuka ruang kepada rakyat melalui saluran-saluran tertentu untuk menyatakan keresahan mereka.

"Persoalannya kini ialah mengapa pihak-pihak tersebut tidak menggunakan saluran yang disediakan dan memilih untuk mengadakan demonstrasi yang hanya akan menyebabkan kesusahan kepada rakyat lain?

"Kami berkata begini berdasarkan pengalaman KVKM sendiri di mana setiap keperluan, pendapat dan ketidakpuasan hati yang disampaikan melalui saluran betul sentiasa didengari dan ditangani oleh kerajaan," jelas beliau.

Ali dalam sidang akhbar itu turut menyatakan tentangan KVKM terhadap penganjuran Himpunan Guling Kerajaan itu dan menasihati golongan muda agar memikirkan dengan teliti rasional dan impak negatif demonstrasi itu terhadap imej dan ekonomi negara.

Jelas beliau, seandainya golongan muda gagal berbuat demikian, negara dan rakyat akan terus kerugian kesan daripada impak jangka masa panjang demonstrasi tersebut kepada ekonomi negara. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment