My Add

Wednesday, 25 December 2013

Himpunan guling kerajaan: NGO buat laporan polis

Oleh YATIMIN ABDULLAH

PASIR MAS, SELASA, 24 Disember, 2013: Hampir 100 anggota dari dua buah parti politik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini bagi menyuarakan bantahan kepada usaha pihak tertentu yang mahu mengadakan perhimpunan haram bagi menggulingkan kerajaan pada sambutan tahun baharu ini.

Perhimpunan tersebut bermula dari pukul 9.30 sehingga 11 pagi itu disertai oleh anggota Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Gerakan, Persatuan Bekas Polis Cawangan Pasir Mas dan Persatuan Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Pasir Mas.

Wakil-wakil dari kumpulan tersebut turut membuat laporan polis berhubung rancangan jahat untuk mengadakan perhimpunan bagi menggulingkan kerajaan itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Mas, Nor Azmawi Ab Rahman berkata, laporan polis berkenaan dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, tindakan pihak berkenaan telah menimbulkan rasa kurang senang dikalangan rakyat negara ini yang sememangya cintakan keamanan.

"Kami memandang serius dan menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha pihak berkenaan yang cuba mewujudkan provokasi bagi menimbulkan rasa kurang senang dikalangan rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment