Jenayah komersial: Akta sedia ada dikaji
KUALA LUMPUR, SABTU, 30 NovEMBER, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa agensi berkaitan sentiasa mengkaji akta sedia ada seiring dengan perkembangan jenayah komersial yang menjadi satu ancaman jenayah masa kini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, perkara itu juga berikutan laporan kedudukan Malaysia kini berada di tangga keenam dunia sebagai negara yang paling berisiko tinggi terdedah ancaman jenayah siber.
Katanya, ia berdasarkan laporan firma pemaju keselamatan teknologi maklumat, Sopohos, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
"Kerjasama polis dengan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Peguam Negara sememangnya telah lama wujud namun jika bercakap soal akta baharu, ia bukan tugas polis kerana tugas kita lebih kepada penyiasatan.
"PDRM, SKMM mahupun Jabatan Peguam Negara sentiasa mengkaji undang-undang berkaitan siber sekiranya mempunyai sebarang kelonggaran selain bertujuan memperkukuhkannya melalui pindaan dari semasa ke semasa bagi membendung jenayah ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial di sebuah pusat beli-belah di Damansara di sini hari ini.
Hadir sama adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Syed Ismail Syed Azizan dan Presiden Limkokwing University of Creative Technology, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing.
Menurut Mohd. Bakri, penggunaan komputer dan telefon pintar telah menjadi gaya hidup serta keperluan utama masa kini sekali gus mendedahkan pengguna kepada jenayah siber.
"Statistik sepanjang tiga tahun kebelakangan ini menunjukkan trend jenayah komersial menjurus kepada jenayah penipuan medium siber seperti pembelian secara atas talian, pembungkusan dan taktik penyamaran," jelasnya.
"Kerugian tertinggi mengikut statistik yang direkodkan adalah pada 2011 iaitu berjumlah lebih RM34 juta melalui sindiket penipuan pembungkusan," jelasnya lagi.
Mohd. Bakri berkata, hasil siasatan dan kajian pihaknya mendapati faktor kecuaian pengguna dan kurang kesedaran tentang teknologi menjadi penyebab utama kepada peningkatan kes-kes penipuan jenayah siber di negara ini.
Sementara itu, mengulas pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial hari ini, Mohd. Bakri berkata, PDRM sedang berusaha untuk mendidik dan meningkatkan pengetahuan orang ramai daripada menjadi mangsa jenayah komersial terutama jenayah siber namun amat memerlukan sokongan pelbagai pihak.
"Kempen kali ini hasil kerjasama dengan Universiti Limkokwing adalah perintis dalam usaha mencapai objektif kerana saya percaya sekiranya semua pihak memainkan peranan, masyarakat akan lebih peka dan berwaspada daripada terperangkap dengan tipu daya penjenayah alam siber.
"Cogan kata "Be Smart" Jangan Jadi Mangsa Jenayah Siber dalam kempen ini sebenarnya adalah peringatan kepada pengguna-pengguna siber agar bertindak bijak apabila melayari atau melakukan sebarang transaksi di internet," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment