My Add

Tuesday 3 June 2014

Abbas ketuai kerajaan baharu Palestin

 * HANIYEH (tengah) mengangkat kedua-dua tangannya di pejabatnya di Bandar Gaza semalam. - REUTERS
RAMALLAH, Tebing Barat, ISNIN 02 Jun, 2014: Presiden Mahmoud Abbas mengangkat sumpah semalam sebagai ketua kerajaan penyatuan Palestin semalam sekali gus menamatkan perpecahan dengan pentadbiran Hamas di Genting Gaza.

Beliau mengangkat sumpah dalam satu upacara ringkas di ibu pejabatnya di sini.

Sebelum mengangkat sumpah itu, berlaku tawar-menawar berhubung 17 anggota Kabinet baharu Palestin yang dipilih dalam kalangan ahli teknokrat.

Walaupun anggota Kabinet baharu itu tidak memiliki hubungan dengan Hamas, sama ada mereka akan diterima oleh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah adalah samar.

Namun, Abbas optimis kerajaan baharu itu dapat menamatkan perpecahan politik dan wilayah yang berlaku apabila kumpulan Hamas menguasai Genting Gaza pada 2007.

Perkembangan tersebut menyebabkan Abbas hanya dapat memerintah wilayah Tebing Barat yang ditawan Israel.

Selama tujuh tahun, Abbas dan Hamas mentadbir dua kerajaan berasingan dalam wilayah masing-masing.

"Lembaran hitam dalam sejarah kita ditutup untuk selamanya dan tidak akan kembali semula," kata Abbas sebelum mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Palestin.

Abbas turut memberi bayangan bahawa beliau tidak lama lagi akan melawat Gaza untuk kali pertama sejak tahun 2007.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh menyatakan, Palestin kini membuka era baharu berteraskan penyatuan dan perkongsian dalam membuat keputusan dan bekerja.

Beliau akan berundur ekoran penyatuan itu.

Kabinet yang baru dibentuk tersebut berdepan dengan pelbagai kesukaran.

Antara krisis yang perlu diselesaikan segera termasuk isu penyatuan pasukan keselamatan di Tebing Barat dan Gaza yang dahulunya berseteru.

Abbas juga tidak memberi jaminan bahawa AS dan Eropah akan terus menyalurkan bantuan tahunan bernilai jutaan dolar yang diperlukan untuk membiayai kerajaan baharu tersebut.

Ia berikutan Barat sebelum ini menganggap Hamas sebagai sebuah kumpulan pengganas manakala sokongan kumpulan itu kepada kerajaan baharu Palestin mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara penderma.

Dalam pada itu, kos untuk membiayai kerajaan baharu itu akan menjadi lebih mahal kerana Abbas terpaksa menggabungkan kakitangan daripada dua pentadbiran berasingan.

Hamas menggaji lebih 40,000 pekerja sejak tahun 2007 manakala Abbas pula memiliki seramai 150,000 kakitangan awam.

Dalam perkembangan berkaitan, Israel mengumumkan ia akan memboikot kerajaan baharu itu kerana ia disokong oleh Hamas.

Kumpulan itu sebelum ini membunuh beratus-ratus warga Israel dalam sejumlah serangan bertahun-tahun lalu.

Regim Zionis mengumumkan langkah untuk menghukum pembentukan kerajaan penyatuan Palestin tersebut tetapi tidak mendedahkan secara terperinci tindakan yang akan dilakukannya. - AGENSI/KOSMO!

No comments:

Post a Comment