My Add

Tuesday 3 June 2014

Biogas sumbang RM20 bilion kepada KDNK

KUALA LUMPUR, ISNIN 02 Jun, 2014: Industri biogas tempatan dijangka menyumbang kira-kira RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020, melalui penekanan yang diberikan oleh kerajaan terhadap industri tersebut pada masa ini.

Ketua Pegawai Operasi Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), Razwin Sulairee Hasnan berkata, sumbangan itu adalah sebahagian atau 15 peratus daripada RM150 bilion nilai pelaburan di dalam sektor bioekonomi kepada KDNK menjelang tempoh yang sama.

Katanya, usaha itu dapat dilihat melalui syarikat-syarikat tempatan yang telah melaksanakan beberapa projek percubaan bagi menjadikan perniagaan berkaitan biogas lebih komersial dan berskala besar, selain dengan bantuan kerajaan yang menawarkan tarif galakkan kepada pemain-pemain industri yang terlibat.

"Kajian oleh BiotechCorp menjangka rantaian industri biogas ini mampu menyumbang sekitar RM20 bilion kepada KDNK. Namun, jangkaan itu tetap bergantung kepada kesediaan teknologi dalam tempoh enam tahun akan datang," katanya pada sidang akhbar sempena berlangsungnya Forum Biogas Asia Pasifik Ketiga di sini hari ini.

BiotechCorp sebelum ini telah menyasarkan sektor bioekonomi mampu menyumbang lima peratus kepada KDNK negara pada 2020 atau nilainya RM150 bilion.

Jelas Razwin, kebiasaannya sumbangan sektor itu kepada KDNK negara-negara maju ialah sekitar 10 peratus. Tambahnya, dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju, sumbangan sektor itu perlu ditingkatkan.

Katanya, industri biogas kini lebih terarah kepada penghasilan tenaga untuk dibekalkan kepada sistem gred elektrik negara, bagaimanapun sumbangannya masih kecil.

"Pembangunan industri biogas juga dilihat sebagai satu keperluan tambahan pula Malaysia kini mengalami pembangunan pesat seperti pembukaan kawasan-kawasan komersial, penempatan dan perbandaran baharu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment