My Add

Tuesday 3 June 2014

'Calon muda bukan jaminan untuk menang'

PONTIAN, ISNIN 02 Jun, 2014: Strategi pakatan pembangkang yang menampilkan calon muda berusia dalam lingkungan 20-an dalam pilihan raya bagi menarik sokongan pengundi bukan jaminan yang mampu menjadi penentu kemenangan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga tidak menolak calon-calon muda tetapi kebanyakan calon baharu berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an.

Beliau berkata, selain menilai dari segi kematangan seseorang calon, BN sentiasa mengambil kira keupayaan serta kemampuan seseorang bagi memastikan mereka dapat menggalas tanggungjawab kepada parti dan rakyat.

"BN tidak menolak dan bersedia untuk menghalusi trend sedemikian sekiranya dapat memenuhi suara golongan muda, namun perlu mengambil kira pandangan semua pihak," katanya selepas menyampaikan sumbangan dalam program Membantu Rakyat (Membara) anjuran Puteri UMNO Bahagian Pontian di Api-Api di sini semalam.

Beliau mengulas kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan yang menyaksikan calon muda DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud, 27, tewas kepada calon BN, Datuk Mah Siew Kiong.

Yang turut hadir, Setiausaha UMNO Bahagian Pontian, Samat Tasrib dab Ketua Puteri UMNO Bahagian Pontian, Noorsuhada Sulaiman.

Pada PRK Teluk Intan 31 Mei lalu, Siew Kiong, 52, yang juga Presiden Gerakan memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya yang mendapat 19,919.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, BN tidak pernah menolak kemasukan golongan muda untuk bertanding sebagai calon tetapi perlu ada gabungan antara muda dan lama seperti yang terlihat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu.

Mengenai tuduhan liar dalam media sosial tentang kemenangan BN pada PRK Parlimen Teluk Intan, beliau menjelaskan, apa yang diperkatakan hanya spekulasi kerana semua keputusan terutamanya ketika proses pengiraan undi telah disahkan oleh wakil-wakil calon BN dan DAP.

"Seperti PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan PRK Parlimen Bukit Gelugor sebelum ini yang dimenangi oleh pakatan pembangkang, proses yang sama juga dilakukan di PRK Parlimen Teluk Intan ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment