My Add

Saturday 14 June 2014

Hampir 2 jam kaki sangkut dalam lubang tandas

 * MUHAMMAD Iskandar Hakimi Mohd. Azrul menahan kesakitan semasa anggota bomba memotong paip pembetungan di tingkat lapan untuk mengeluarkan kaki kanannya yang tersangkut di dalam lubang tandas di rumahnya di tingkat sembilan Flat Jalan Sungai, Sungai Pinang, Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG, JUMAAT 13 Jun, 2014: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam selepas kaki kanannya tersangkut di dalam lubang tandas cangkung di rumahnya di tingkat sembilan, Flat Jalan Sungai, Sungai Pinang, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Muhammad Iskandar Hakimi Mohd. Azrul dikatakan ke tandas berkenaan bersama neneknya, Salbiah Ariffin, 61, untuk membersihkan diri selepas membuang air besar.

Difahamkan, mangsa sebelum itu mengadu sukar membuang air besar dan meminta neneknya memakaikannya lampin pakai buang.

Menurut Salbiah, dia hanya menyedari kaki cucunya itu tersangkut sebaik sahaja mahu membawa mangsa keluar dari tandas.

"Saya cuba untuk menarik keluar kaki cucu saya tetapi dia menjerit kesakitan. Saya ketika itu menjadi tidak tentu arah apabila melihat keadaan cucu yang semakin ketakutan.

"Risau sesuatu yang lebih teruk berlaku, saya kemudian menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan memandangkan ketika itu hanya saya dan cucu yang berada di rumah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yaakob Abdul Aziz berkata, pihaknya terpaksa memotong paip pembetungan jenis polivinil klorida (PVC) di kediaman tingkat lapan rumah pangsa berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit kira-kira pukul 11.40 pagi.

"Sebelum itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengeluarkan kaki mangsa termasuk memecahkan lantai jubin dan mangkuk tandas tetapi tidak berjaya kerana pihak kami berdepan kesukaran mengeluarkan kaki mangsa.

"Jadi, kami mengambil keputusan memotong paip pembetungan di aras bawah rumah mereka dan menolak kaki mangsa dari bawah selepas disapu dengan minyak," katanya.

Difahamkan mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment